PESERTA Program Jelajah Kasih dan Khidmat Komuniti Pejabat Daerah Kubang Pasu merakamkan kenangan setelah tamat program.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Itu perumpamaan sesuai menggambarkan Program Jelajah Kasih dan Khidmat Komuniti Pejabat Daerah Kubang Pasu berlangsung di Kampung Sematang Kerpan, Mukim Sanglang.

Seramai 200 peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Daerah Daerah Kubang Pasu bersama penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kawasan perkuburan dan mengecat tembok serta surau di kampung berkenaan.

Program turut dibantu anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan syarikat konsesi pembersihan E-Idaman dan Pejabat Ahli Parlimen Jerlun.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sematang Kerpan, Ani Ismail, sememangnya menjadi tradisi di kampung itu penduduk akan bergotong-royong membersihkan semak di kawasan perkuburan menjelang Ramadan.

“Tetapi tahun ini dengan kehadiran ramai, kerja yang mengambil masa separuh hari mampu disiapkan tidak sampai dua jam.

“Saya bagi pihak penduduk kampung amat berterima kasih kepada Pejabat Daerah Kubang Pasu terutama pegawai daerah yang memilih kampung ini sebagai lokasi utama program,” katanya ketika ditemui dalam program berkenaan, baru-baru ini.

Sementara itu, penyelaras program, Mohd Amran Hanafiah berkata program itu diilhamkan Mohd Fisol yang mahu kakitangannya, terutama penghulu dan pegawai turun padang mendekati masyarakat dalam daerah itu.

“Kampung ini lokasi pertama program dan kita akan teruskan di kampung lain pula sepanjang tahun ini,” katanya.

Mohd Amran yang juga Penghulu Mukim Sanglang berkata, program itu turut mendapat kerjasama daripada pemilik motosikal berkuasa tinggi daripada Jerlun Bikers Ride Club 05 yang aktif dengan kerja amal sekitar Parlimen Jerlun.

Kehadiran mereka bukan sahaja banyak membantu kerja di lapangan tetapi juga menarik perhatian penduduk dan peserta yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 10:32 AM