PAMERAN ‘Inception’ tampil 21 pengkarya gelar diri mereka sebagai kumpulan Terbit.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Mendengar tajuknya saja membuatkan penulis terbayang filem sains fiksyen tahun 2010 arahan Christopher Nolan yang turut terkenal pembikinannya dalam beberapa filem lain seperti Memento (2000), Insomnia (2002) dan Batman Trilogy.

“Filem itu mengisahkan maklumat yang dicuri menerusi minda bawah sedar namun tajuk itu sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan pameran ini yang menggalakkan pelukis dengan pelbagai idea.

“Apabila bercakap mengenai pembaharuan atau kelahiran semula, ia bukan saja merujuk kepada cara permulaan tetapi turut membabitkan komitmen, niat dan keazaman untuk menjadi insan yang lebih berilmu.

“Pameran ‘Inception’ menampilkan 21 pengkarya yang menggelarkan diri mereka sebagai kumpulan Terbit, mendapat ilham untuk menghasilkan karya seni terbaik sebagai langkah menjadi artis ternama pada masa depan.

“Justeru, mereka lahir dengan pelbagai karya yang tiada batasan, tiada had tetapi menyatakan kebebasan untuk membawa pembaharuan menerusi karya yang memiliki sifat dan seni lebih segar,” kata kurator pameran, Amir Amin.

Artis muda ini dibarisi Amirul Fadzil, Afiq Hanafiah, Aqila Subki, Diauddin Isa, Faisa Saari, Fareez Fauzi, Firdaus Nordin, Falil Johari, Farah Lyana, Fakhrul Ammir, Hafiz Shafie, Hafiz Kassim, Izzuddin Basiron, Khalili Izham, Khair Abd Muin, Marzuqi Mazlan, Nadireen Aidi, Nabilah Sawal, Naim Firdaus, Waniey Mazlan dan Zikri Haikal.

Karya Marzuqi Mazlan dalam ‘A Friendly Enemy’ menyentuh eksploitasi yang dilakukan ke atas haiwan domestik seperti penderaan haiwan, anjing ditembak secara terbuka dan kucing yang dicampak dari pangsapuri tinggi. Justeru, keganasan bukan saja di medan peperangan tetapi ia turut berlaku dalam masyarakat di sekeliling kita.

Firdaus Nordin menerusi karya ‘Money and Power, Without Them I Am No King’ menjelaskan keinginan individu zaman ini terhadap kuasa dengan menggunakan wang ringgit.

Karya Waniey Mazlan dalam ‘There Is No Time For Tea’ pula jelas memperlihat­kan sentuhan si pari-pari kisah ‘Alice In Wonderland’. Bagaimanapun, beliau memfokuskan arnab putih bagi mengingatkan kita akan kepentingan menguruskan masa dengan sebaik-baiknya.

Sebanyak 22 karya anak muda ini menantikan kunjungan orang ramai ke Galeri Seni Alam Impian, Shah Alam.

Lahir dengan pelbagai mesej, barisan pengkarya ini bakal menghiasi dunia seni tanah air dengan ilmu berwarna-warni pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 1:02 PM