ZAINAB bertanggungjawab menjaga keselamatan majikan.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Dewasa ini, paparan kes jenayah membabitkan wanita di dada akhbar mahupun bertebaran di laman sosial seolah-olah tidak lagi dilihat sebagai isu luar biasa.

Mengambil contoh kes mahkamah membabitkan selebriti wanita tempatan dan bekas pemandu lelakinya, baru-baru ini, menghangatkan lagi isu tanggungjawab seorang pekerja kepercayaan ‘membelot’ majikannya.

Memegang konsep ‘Dari wanita untuk wanita’, syarikat keselamatan Berani Guard Sdn Bhd di bawah pimpinan Saliza Abdullah peka dengan risiko bakal dihadapi kaum sejenis dengan menyediakan perkhidmatan pemandu merangkap pengawal peribadi wanita.

“Segelintir majikan wanita tidak mempunyai pilihan, justeru terpaksa menggunakan perkhidmatan pemandu merangkap pengawal peribadi lelaki.

“Ramai wanita hari ini berkerjaya, malah berjaya dalam bidang masing-masing. Masalah timbul sekiranya wanita ini terpaksa menghadiri majlis yang berakhir pada lewat malam.

“Dalam situasi seperti ini, pastinya majikan wanita rasa tidak selesa dan selamat untuk berurusan dengan pemandu dan pengawal peribadi lelaki, tambahan pula kita terikat dengan adab ketimuran dan nilai agama.

“Keadaan berbeza apabila pemandu dan pengawal peribadi wanita yang mengiringi majikan berkenaan,” katanya dalam Sesi Latihan Menembak Berani Guard 2017, baru-baru ini.

Menerima permintaan tinggi terhadap pemandu dan pengawal peribadi wanita, Saliza mengakui pekerjanya bukan saja berkemahiran di jalan raya, bahkan memiliki kemahiran menyelenggara kenderaan, asas keselamatan serta mempunyai lesen senjata api yang sah.

Sementara itu, pemandu merangkap pengawal peribadi wanita, Zainab Samad berkata, membuka peluang pekerjaan kepada golongan hawa menceburi profesion yang didominasi lelaki ini seolah-olah mengiktiraf keupayaan wanita dalam dunia keselamatan.

Berpandangan optimis mengenai kerjaya ini, wanita berusia 50 tahun ini berkata, wujudnya ‘kerja’ ini bertujuan untuk membantu wanita lain.

Bukan sekadar pengawal peribadi bahkan pemandu kepada majikan, Zainab bertanggungjawab memantau keselamatan ‘bosnya’, mengawal situasi serta bertindak sebagai peneman pada masa yang sama.

Kemahiran pengawal peribadi wanita tidak seharusnya diukur menerusi kekuatan fizikal mahupun kepakaran bermain senjata api, sewajarnya diberi peluang untuk menambah nilai kualiti diri terutama membabitkan skil bersosial.

Menurut Zainab, kebolehan pemandu dan pengawal peribadi seperti berkomunikasi dalam pelbagai bahasa terutama bahasa Inggeris mampu memberi manfaat kepada individu mahupun majikan yang diiringi.

“Melihat situasi hari ini, kepentingan berbahasa Inggeris memberi kelebihan kepada pengawal peribadi untuk berurusan dengan individu yang berada di sekeliling majikan.

“Sekiranya menjangkau etika profesional, pengawal peribadi antara individu paling rapat dengan majikan. Wujud kemungkinan pertukaran idea mahupun pendapat antara mereka.

“Apabila pengawal peribadi wanita memiliki kelebihan seperti ini, pastinya majikan juga selesa untuk berurusan.

“Selain itu, penganjuran kursus motivasi dan taklimat berkaitan bidang keselamatan terkini membuatkan pengawal peribadi wanita lebih peka dengan isu terkini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 12:56 PM