ROMBONGAN ziarah bergambar kenangan di hadapan masjid yang diinfak mereka.
Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi
rencana@hmetro.com.my


Seruan melakukan amal kebajikan terutama melalui sedekah amat digalakkan, malah ia turut dinyatakan menerusi firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berlipat ganda). Mereka pula akan beroleh pahala yang mulia,” (surah Al-Hadid: 18)

Ia bertepatan dengan penganjuran Program Amal Kebajikan di Pattani, Thailand, yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Bukit Damansara.

Seramai 30 orang terdiri daripada ahli Perkim Bukit Damansara dan kariah Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA) Bukit Damansara menyertai program berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Hanif Harun berkata, ia kesinambungan program ke Satun, Thailand pada Mac lalu dan kali ini program kebajikan bertapak di Wilayah Pattani, Thailand.

“Program itu memberi peluang kepada ahli cawangan untuk melihat sendiri keadaan tapak masjid dan madrasah yang masih dalam proses pembinaan kerana kekurangan dana.

“Selain itu, kami dapat melihat adat resam dan budaya Muslim Pattani yang banyak melahirkan ramai ulama tersohor dan cendekiawan agama melalui pengajian pondok di situ.

“Program itu memberi gambaran menyeluruh kehidupan umat Islam Pattani dan kaedah sistem pembelajaran pondok yang digunakan dalam melahirkan generasi bertakwa.

“Kekurangan dan keperluan masyarakat Kampung Gelong Tok Nak, Sekam di Pattani turut dikenal pasti,” katanya.

Menurut Pengasas Madrasah Maahadul Ulum Addiniah, Wan Ahmad Wan Lembut berkata, madrasah yang masih dalam pembinaan itu adalah institusi pengajian bagi pelajar tingkatan satu hingga tiga sebelum diangkat sebagai maktab pengajian pondok.

“Idea penubuhan tercetus selepas memikirkan wujud kekurangan pengambilan pelajar tahfiz tingkatan satu hingga tiga dan kebanyakan madrasah sering penuh dan majoritinya tidak mengambil pelajar lagi.

“Penubuhannya sebagai asas untuk menubuhkan maktab yang lebih besar, berperanan menyediakan pengajaran dan pembelajaran agama Islam kepada generasi muda dan masyarakat umum agar mampu menghadapi cabaran dunia moden dengan berteraskan prinsip agama yang kuat.

“Matlamat Maahadul Ulum Addiniah bagi memperkasakan bahasa dan kandungan al-Quran dan menanamkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi di Majlis Agama Islam Pattani.

Ia juga bakal melahirkan pendidik yang berpengetahuan luas, berprinsip dan generasi yang sanggup berkhidmat kepada agama, bangsa dan tanah air dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Justeru, madrasah berkenaan menawarkan dua bentuk aliran iaitu secara pondok (tradisional) dan persekolahan (moden).

Namun begitu, Maahadul Ulum Addiniah masih memerlukan dana bagi pembinaan masjid yang berjumlah RM210,000, madrasah dua tingkat (RM717,000) dan asrama (RM448,000).

Sumbangan di atas nama Maahadul Ulum Addiniah boleh disalurkan ke akaun Maybank 552059694340 atau Islamic Bank of Thailand 581-1-15852-1. Boleh hubungi Dr Shafie Abdullah selaku Pentadbir Maahadul Ulum Addiniah di talian 012-6271890.

Sebelum berangkat, ahli rombongan turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai, makanan dan kitab pengajian untuk Maahadul Ulum Addiniah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mei 2017 @ 12:52 PM