PENDUDUK perkampungan di India dibantu wakil EZ Qurban membahagikan daging korban sebelum diagihkan kepada penduduk kampung.
WAKIL ez Qurban mengagihkan daging korban kepada penduduk di sebuah kampung di India.
PENDUDUK kampung di Ambon, Indonesia melapah kambing.
PENDUDUK di perkampungan di India bergambar sebagai tanda kenangan bersama daging korban yang diterima mereka.
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


Faktor keselamatan, perbezaan budaya dan jarak yang jauh bukan penghalang buat EZ Qurban Sdn Bhd menyampaikan amanah rakyat Malaysia dalam menjalankan ibadah korban dan akikah di negara terpilih.

Komitmen EZ Qurban terbukti apabila mereka diangkat sebagai pemegang The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Penyertaan Terbanyak Dalam Program Korban pada 2016.

Bermula dengan program akikah dan korban di Kemboja pada 2007, EZ Qurban berusia 10 tahun kini berjaya menyebarkan sayap ke 17 negara terpilih dalam menyampaikan amanah seluruh rakyat Malaysia.

Antara negara berkenaan termasuk Kemboja, Vietnam, Laos, Myanmar, Bangladesh, Thailand, Filipina, India, Indonesia, Sri Lanka, Mali, Chad, Kenya, Malawi, Palestin dan Arab Saudi.

Penulis difahamkan, kebanyakan negara terpilih untuk menjadi ‘venue’ adalah kawasan minoriti Islam, miskin, bergolak dan ditindas. Bukanlah suatu perkara mudah untuk ‘meloloskan’ diri ke kawasan berkenaan terutama kawasan bergolak.

Komitmen dan semangat jitu petugas EZ Qurban itu penulis saksikan sendiri ketika mengikuti program akikah di Pulau Basilan bermula 3 Mei lalu. Diakui petugas EZ Qurban kebanyakannya masih muda namun cukup bersemangat selain melakukan rancangan terperinci dalam menjayakan sesuatu misi.

Mana tidaknya, bukan nilai atau bentuk sumbangan sahaja menjadi keutamaan mereka sebaliknya ‘nyawa’ ataupun keselamatan ahli rombongan termasuk penulis sendiri diletakkan pada tahap tertinggi.

Apatah lagi masuk ke kepulauan Basilan yang dikaitkan dengan kubu pengganas Asia oleh media Barat bukan satu perkara mudah yang boleh diambil ringan dengan peningkatan kes penculikan yang dilaporkan berlaku.

Kesempatan menjejakkan kaki ke bumi Basilan penulis gunakan sepenuhnya bagi ‘menghadam’ situasi sebenar di kawasan bergolak yang terkenal dengan siri penculikan itu.

Mungkin masa singkat antara penghalang utama penulis untuk mendapatkan gambaran penuh tetapi sekurang-kurangnya kesempatan menjejakkan kaki di tiga daripada 11 daerah di pulau itu digunakan bagi memahami perkara sebenar yang berlaku di bumi terkenal dengan bangsa Moro itu.

Ringkasnya, penulis sifatkan sebagai ada ‘permainan dalam permainan’ bagi situasi tegang serta siri penculikan yang berlaku di kawasan berkenaan. Hanya iringan doa penulis titipkan semoga perjuangan mereka dalam menuntut wilayah autonomi berjaya satu hari nanti.

Sedikit perkongsian, ekonomi utama di seluruh pulau berkeluasan 1,234 kilometer persegi yang menempatkan lebih 300,000 penduduk, 90 peratusnya Muslim itu bergantung kepada sektor peladangan kelapa selain sebilangan kecilnya berniaga serta menjadi nelayan.

Perlu dijelaskan di sini, penduduk di Pulau Basilan bukanlah dalam keadaan kebuluran ataupun kesakitan seperti negara Palestin, Chad, Yaman mahupun Syria walaupun kehidupan mereka miskin.

Penulis akui, EZ Qurban antara badan yang aktif menyampaikan sumbangan ke seluruh Mindanao berbanding NGO lain.

Untuk rekod, pada 2016, EZ Qurban sudah menyampaikan sumbangan akikah sebanyak 5,751 ekor haiwan bernilai RM3,335,580. Korban lembu pula sebanyak 4,910 bernilai RM10,311,000 dan (korban) kambing 1,124 bernilai RM651,920.

Selain korban dan akikah yang menjadi ‘bisnes’ utama EZ Qurban, mereka juga menganjurkan bantuan fidyah, wakaf perigi dan sedekah umum ke negara terpilih.

Pengarah Pemasaran EZ Qurban Sdn Bhd Ahmad Fadzlullah Hasanuddin berkata, antara perkara yang tidak dapat dilupakannya sepanjang 10 tahun terbabit dalam program itu adalah ketika menyampaikan sumbangan korban dan akikah di Kemboja.

Katanya, penduduk Islam Kemboja menantikan kehadiran mereka untuk menjalankan majlis perkahwinan.

“Ini saya tidak dapat lupakan dan paling sedih. Saya sendiri terkejut apabila penduduk di kawasan itu akan menunggu bantuan kita (EZ Qurban) untuk melakukan majlis perkahwinan. Jika kami tidak datang, mereka tidak buat kenduri.

“Manakala di Bangladesh pula, daging korban yang diagihkan kepada mereka pula dijual untuk menyara kehidupan seharian. Ini cukup sedih,” katanya menjelaskan, perkara itu antara sebab utama pihaknya terus istiqamah dalam misi mereka membantu ummah walaupun dibatasi jarak yang jauh.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan amanah rakyat Malaysia disampaikan dengan jayanya.

“Sebab itu kita menjalankan misi bersama NGO tempatan bagi memudahkan segala perjalanan dan mengenal pasti golongan sasaran dengan baik,” katanya.

Katanya, dia menyeru rakyat Malaysia supaya terus melakukan sumbangan dalam memastikan kelangsungan umat Islam terutamanya di negara yang ditadbir bukan Islam.

“Malaysia adalah payung utama yang membela nasib Muslim di seluruh dunia,” katanya memberitahu, orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan bagi membangunkan semula masjid yang rosak akibat serangan berkenaan bolehnya menyumbang ke akaun Maybank 5624 0550 5189 / CIMB 8602 9372 25 dan Bank Islam 1211 3010 0292 76 atas nama EZ Qurban Sdn Bhd.

Mereka yang mahukan maklumat lanjut bolehlah hubungi talian 03-61861911 serta melayari laman web www.ezqurban.org.

Sepanjang hampir seminggu bersama petugas EZ Qurban ketika menikmati keindahan dan keunikan kehidupan di Pulau Basilan, penulis akui mereka adalah badan yang sememangnya profesional.

Jujurnya, penulis sudah banyak kali terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan bersama NGO di beberapa negara bergolak seperti Palestin, Syria, Pakistan, Mesir dan selatan Thailand tetapi, diakui EZ Qurban adalah antara badan yang bertanggungjawab dan amanah dalam menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia kepada golongan sasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 1:03 PM