KESUKAAN Ah Ma bermain mahjong bersama keluarga dalam ‘Mah Jong Kakis’.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Bagaikan bom nuklear yang jatuh di Hiroshima, begitu jugalah keperitan yang dirasai Marisa Ridzuan Ng apabila mengetahui nenek kesayangannya menghidap kanser kolon.

Terlalu banyak pengorbanan yang diberikan neneknya ketika membesarkannya sehingga berjaya mencipta nama sebagai seorang pengkarya.

Oleh itu, untuk pameran solo ketiga ini Marisa melahirkan penghormatan untuk Ong Chiew Bee, 87, menerusi ‘ONG: It Came From A Place of Love’.

Pameran solo terbarunya menyentuh kisah kekeluargaan, kasih sayang antara muda dengan yang tua, dizahirkan dengan penuh ikhlas dalam lukisan abstrak pelbagai dimensi lebih 30 karya menggunakan medium cat minyak di atas kanvas.

“Lukisan ekspresionis abstrak ini adalah penghargaan kepada Ah Ma (nenek) tersayang yang berpenat lelah ketika membesarkan saya malah untuk meraikan golongan ibu di luar sana sempena Hari Ibu.

“Ia adalah lakaran visual yang mendokumenkan hubungan saya dengannya dan perjalanan yang kami kongsi.

“Saya berpeluang menyaksikan hubungan indah antara Ah Ma dengan adik-beradiknya malah saya pelajari rasa hormat selepas melihat bagaimana generasi dewasa ini berinteraksi antara satu sama lain,” katanya.

Beberapa lukisan menggambarkan watak beliau, sapuan strok berus yang cepat dan cara cat itu dilukis di atas kanvas membayangkan dirinya yang spontan tetapi penuh makna.

ONG juga sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan mengesan kanser di peringkat awal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 12:41 PM