SALIHAH menunjukkan sehelai pakaian daripada beraneka jenis yang dijualnya di Pasar Kemboja.
D J Dolasoh
rencana@hmetro.com.my


Kemeriahan Pasar Kemboja Jalan Sempadan Parit Buntar, Perak bukan saja kerana beraneka jenis pakaian dijual di sini tetapi juga pada harga murah sehingga menjadi tumpuan ribuan pengunjung setiap kali ia beroperasi.

Lokasi pasar terletak di Permatang Tok Mahat, bersempadan dengan Pulau Pinang ini kini dibuka pada setiap Sabtu seawal jam 6 pagi sehingga 1 tengah hari menjadikan lokasi ini sibuk seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman Kuala Lumpur pada hari minggu.

Dikenali sebagai Pasar Kemboja kerana pada asalnya pada 1987 beberapa peniaga dari Kemboja menjual pakaian secara bungkusan di tepi jalan raya di Permatang Tok Mahat di situ dan menjadi Pasar Kemboja Pertama diwujudkan di negeri sebelah utara.

Sambutan di luar jangkaan daripada penduduk tempatan dan pengunjung dari negeri berhampiran iaitu Pulau Pinang dan Kedah ketika itu sehingga pasar itu menjadi popular sejak 15 tahun lalu. Kini, bilangan peniaga melebihi 250 dengan beberapa orang daripadanya Pakistan dan Melayu.

Penduduk tempatan turut menyambut baik kewujudan Pasar Kemboja ini dengan mengambil peluang menjual makanan dan minuman selain mengambil bayaran untuk letak kenderaan pengunjung di depan kediaman mereka.

Peniaga yang ditemui turut teruja berniaga bukan saja kerana selesa di situ tetapi juga menerima ramai pelanggan. Mereka sudah dikenali penduduk tempatan serta dari dua negeri berjiran iaitu Pulau Pinang dan Kedah.

Peniaga berasal dari Kemboja, Salihah Rostam, 55, berkata, Pasar Kemboja di Parit Buntar itu sinonim dengannya kerana jualannya sejak lebih 15 tahun lalu tidak mengecewakan menyebabkan dia menambah sehingga menjadi 12 jenis pakaian dijual pada setiap Sabtu.

Ibu enam anak yang sudah 40 tahun tinggal di negara ini dibantu lima anak yang turut berniaga pakaian di empat lokasi lain iaitu Pendang dan Baling, Kedah, Kamunting dan Batu Kurau, Perak.

“Atas permintaan pelanggan, saya menjual beraneka jenis pakaian yang diminta pelanggan termasuk jubah, blaus, kain pasang, baju, skirt, kain pelekat dan telekung solat yang sebahagian bekalannya diambil dari Vietnam dan Thailand.

“Alhamdulillah, pelanggan akui berpuas hati dengan jualan terutama mutu pakaian dan harganya menyebabkan saya ada pelanggan tetap setiap kali menjual di lokasi ini,” katanya.

Manakala penjual tudung berasal dari Kemboja, Zaleha Rashid, 37, berkata, kemeriahan Pasar Kemboja di situ kerana ia turut dibanjiri gadis Melayu yang memilih pelbagai jenis tudung yang dijual di pasar itu.

“Saya menjual beraneka jenis tudung dengan paling banyak ialah sifon, bawal, sebai atau selendang dan tiga ‘layer’ kerana jenis-jenis ini paling banyak mendapat sambutan daripada gadis dan wanita muda.

“Masa kini kebanyakan gadis bertudung dan gemar memilih fesyen tudung. Kadang-kadang baru hendak buka dan sedang sibuk meletakkan tudung di tempat jualan sudah pun diserbu pelanggan,” katanya yang baru tiga tahun berniaga di Pasar Kemboja di situ.

Zaleha yang menetap di negara ini sejak 20 tahun lalu dan berkahwin dengan penduduk tempatan Musa Abdul Kadir, 37, kini dibantu anak gadisnya, Erni Suhana Musa, 16, pada cuti sekolah di samping dua rakan anaknya.

Manakala penjual pakaian kanak-kanak berasal dari Alor Setar, Hidayah Mohamad, 30, berkata, Pasar Kemboja di situ lebih meriah pada musim cuti sekolah atau menjelang Aidilfitri dan Aidiladha sehingga tidak menang tangan melayani pelanggan.

“Bagaimanapun, saya kini hanya dibantu suami, Mohd Zamri Abdul Halim, 30, yang berniaga di sini tiga tahun lalu selain di beberapa lokasi pasar malam lain di Perak dan Kedah,” katanya yang menetap di Kulim, Kedah.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Pasar Kemboja Parit Buntar, Mohamad Shazali Kasim, 47, berkata, dia sendiri tidak menjangka pasar pada asalnya mula dibuka beberapa peniaga dari Kemboja pada 1987 dulu pada setiap pagi Jumaat itu kini dikunjungi pelancong dari negeri lain dan popular.

“Kami mengubah waktu operasi dari Jumaat kepada setiap Sabtu mulai 1 Oktober 2013 kerana ia cuti umum dan kunjungan pelancong bertambah termasuk pelancong dari negeri lain serta pelancong asing. Ada hari tertentu sehingga 60 bas pelancong tiba di Pasar Kemboja di sini.

“Peniaga kini melebihi 250 dengan beberapa orang daripadanya Pakistan dan Melayu. Pasar dibuka seawal jam 6 pagi sehingga 1 tengah hari ini turut menjual pakaian secara borong dan terkawal dengan pemantauan daripada Majlis Daerah Kerian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 12:35 PM