PENGARAH Alliance Francaise Jean-Pierre Dumont (kiri) bersama Koordinator Budaya Alliance Francaise, Raphaelle Fauvette (tengah) dan Kaunselor Budaya Kedutaan Perancis, Jean-Pierre Galland ketika perasmian Le French Festival 2017 di GSC Midvalley.
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Memasuki edisi yang ke-16, Le French Festival (LFF) 2017 menyajikan kehebatan seni dan budaya dari negara itu untuk peminatnya di sini.

Trek rekod selama 15 tahun, membolehkan festival berkenaan memenuhi kehendak peminat di Malaysia dengan pelbagai pengalaman berkaitan budaya Perancis dan ia diteruskan dengan program yang lebih menarik.

Anjuran Alliance Francaise (AF) dan Kedutaan Perancis di Malaysia dengan sokongan Institut Francais, LFF 2017 berlangsung sehingga 18 Jun ini di tiga lokasi berbeza Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu, Sabah.

LFF 2017 dijangka menarik lebih 12,500 pengunjung untuk menghadiri festival yang memaparkan akademik, budaya dan sosiologi masyarakat Perancis.

Program yang dipilih dengan teliti untuk LFF 2017 ini sentiasa menawarkan sesuatu untuk semua peringkat umur, memenuhi kepentingan awam dalam budaya Perancis itu sendiri yang merentasi pelbagai demografi.

Pancaindera peminat seni, filem, muzik dan pencinta makanan akan terus dirangsangkan menerusi pelbagai aktiviti LFF tahun ini dengan wujudnya kategori baru dan unik seperti seni persembahan dan seni bina.

Dijangka lebih 6,000 peminat filem menyaksikan filem pecah panggung itu. Ini menunjukkan peningkatan 11 peratus berbanding tahun lalu.

Festival Filem Perancis turut bekerjasama dengan Golden Screen Cinema (GSC) menerusi tayangan 17 filem dan drama Perancis menemui peminat budaya negara berkenaan di tiga negeri.

Antara cerita yang menarik perhatian ialah ‘Chocolat (Monsieur Chocolat)’, ‘The Fabulous Patars (Cigarettes et chocolat chaud)’, ‘One Man and His Cow (La Vache)’, ‘Rosalie Blum’ dan ‘Our Futures (Nos Futurs)’.

Pemain piano terkenal, Maxime Zecchini menemui peminat muzik di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 31 Mei ini serta di Gurney Plaza dan Hotel Equatorial pada Jun depan.

Selain itu, penyanyi merangkap DJ, Charles-Baptiste, penari dari Cie Uzumaki Dance Company dan persembahan artis dari Cie Non Nova Company turut menemui peminat pada Jun ini.

Sejarah pawagam Perancis yang berlangsung selama 120 tahun pastinya menyajikan pelbagai ilmu pengetahuan apabila kisah Gaumont iaitu studio pertama yang mengeluarkan filem pertama di dunia dan menjadi laluan untuk studio lain seperti Universal Pictures, Pathe dan Paramount Pictures bergerak dalam industri filem.

Pameran studio Gaumont disajikan dalam bentuk poster dan filem termasuk beberapa cerita yang pernah dikeluarkannya termasuk ‘The Great Dictator’ (1940), ‘Nosferatu the Vampyre’ (1979) dan ‘Nikita’ (1990).

Orang ramai bakal teruja dengan pameran seni bina hasil sentuhan arkitek dan perancang bandar Perancis, Jacques Ferrier antaranya menerusi Beijing International French School, China dan Airbus Delivery Centre di Tooulouse, Perancis, yang berlangsung di Whitebox Publika, Kuala Lumpur sehingga 1 Jun depan.

Aktiviti memilih, memasak dan merasa makanan atau gastronomi memeriahkan lagi acara LFF, menyaksikan pelbagai cara masakan dan mencuba makanan yang diadakan sehingga 15 Jun ini bertempat di sekitar Kuala Lumpur.

Bagi mendapatkan maklumat dan jadual aktiviti segera, layari www.lefrenchfestival.com.my atau Le French Festival di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 12:30 PM