ABDUL Hanif (tengah) menyampaikan sumbangan kepada Ismail Muhammad disaksikan pelajar tahfiz dan ahli ziarah PERKIM di Madrasah Tahfiz Al-Quran Kampung Tammalang Hilir, Satun.

Dakwah adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan umat Islam dalam usaha menyampaikan seruan agama dan membawa manusia kepada kebaikan serta melakukan kebajikan.

Bertepatan dengan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Bukit Damansara menganjurkan Program Amal Kebajikan Bersama Masyarakat Satun, Thailand.

Program itu disertai 32 ahli PERKIM Bukit Damansara terdiri daripada kariah masjid, komuniti Bukit Damansara, tokoh korporat dan dermawan.

Pengerusi PERKIM Bukit Damansara Datuk Abdul Hanif Harun berkata, program itu bertujuan melihat sendiri kehidupan daif masyarakat negara itu dan menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, program sedemikian mengeratkan tali persaudaraan apabila menghulurkan sumbangan berbentuk hadiah mahupun wang.

“Program berkenaan tercetus sewaktu lawatan kerja ke beberapa tempat di negara itu yang membuatkan saya terdetik untuk membantu madrasah dan masjid yang masih memerlukan dana untuk disiapkan.

“Kali ini rombongan dibawa dengan bas dari Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA), Bukit Damansara melalui pintu sempadan Wang Kelian, Perlis untuk ke Satun, Thailand yang mengambil masa 10 jam perjalanan dengan jarak sejauh 564 kilometer.

“Ia program kedua diadakan dengan penyertaan ahli yang lebih ramai berbanding Januari lalu,” kata Abdul Hanif.

Tammalang, perkampungan Islam pertama yang dikunjungi, tujuh kilometer dari Bandar Satun mempunyai kira-kira 250 rumah kampung nelayan, apabila 70 peratus daripada penduduk kampung itu beragama Islam dan berbahasa Melayu loghat Kedah.

Ahli PERKIM berpeluang beramah mesra dengan pelajar tahfiz di Madrasah Tahfiz Al-Quran Kampung Tammalang Hilir selain menyampaikan sumbangan wang tunai, al-Quran dan kitab agama kepada guru di situ.

Doktor dan jururawat sukarelawan turut melakukan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung di Klinik Desa Tammalang memandangkan klinik itu jarang menerima kunjungan doktor perubatan.

Seramai 65 penduduk kampung mendapat khidmat pemeriksaan kesihatan dan perubatan daripada Dr Mohazmi Mohamed selaku doktor bertugas di Rawatan Utama Klinik Am, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Rombongan ziarah turut ke Yayasan Madrasah Darulmaaref yang juga pusat pembelajaran agama Islam tersohor di daerah Satun.

Mudir Yayasan Madrasah Darulmaaref Ahmad Mohamad Zaki berkata, madrasah itu diasaskan 70 tahun lalu oleh Mohamad Zikir Abdul Manan yang berasal dari Minangkabau, Indonesia.

“Ia bukan sekadar sekolah atau madrasah tetapi berperanan sebagai organisasi penting seperti PERKIM, JAKIM, YADIM untuk menjaga kesucian agama Islam dan umatnya.

“Malah madrasah itu juga menaik taraf silibus mata pelajaran daripada sistem pondok kepada sistem akademik agama,” katanya.

Madrasah berkenaan memuatkan 138 pelajar berusia 13 hingga 18 tahun yang mengikuti pelajaran hafazan al-Quran, Matematik, Sains, Bahasa Thai malah mereka diwajibkan mengikuti kokurikulum seperti kelab sukan, kadet, kelab sains dan kelab cinta negara.

Masjid Abu Bakar As-Siddiq yang tersergam indah di hadapan madrasah itu mampu memuatkan 500 pengunjung dan menjadi tempat bagi pelajar menunaikan solat dan menuntut ilmu.

Masjid berkenaan dianggap unik kerana dilengkapi pusat siaran radio Al-Quran Radio Satun, satu-satunya radio yang menjadi pusat sebaran ilmu Islam di seluruh daerah Satun.

Kata Ahmad, dengan mengambil contoh siaran radio Islam di Malaysia, mereka dapat menyiarkan hadis dan al-Quran sebelum azan berku­mandang dengan membawa penceramah yang diundang khas.

“Saya kagum dengan perjuangan Ahmad dan madrasah berkenaan yang sedaya upaya melaksanakan usaha dakwah walaupun berada dalam negara bukan Islam serta menghadapi pel­bagai cabaran dan rintangan,” kata Abdul Hanif ketika menyampaikan sumbangan wang tunai dan cenderahati kepada Ahmad. - Mohd Syahril Rosdi Ahmad Zahudi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 12:24 PM