MOHAMED Khaled melihat pelan pembinaan untuk menaik taraf dan mencantikkan Kampung Pasir Gudang Baru.

Sungai Masai yang pada suatu masa dahulu menjadi tempat memancing kegemaran ramai kerana airnya yang jernih dan mengalir deras, kini tercemar, berkeladak, dipenuhi sampah sarap dan berbau busuk.

Sungai ‘hitam’ ini, yang dahulunya menjadi nadi kehidupan ratusan nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru dan kampung berdekatan kini dikategorikan sebagai Kelas 3 dan 4, yang disifatkan sebagai sungai tercemar teruk. Jika kualitinya terus bertambah buruk, tidak lama lagi ia akan menjadi sungai mati.

Dalam usaha memerangi pencemaran sungai, Pejabat Kawasan Parlimen Pasir Gudang melancarkan program ‘Sungaiku Hartaku’ untuk menyemai sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat supaya menjaga sungai dan alam sekitar.

Dalam ucapan pada majlis pelancaran program itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Datuk Normala Abdul Samad berkata, pencemaran sungai adalah satu isu kritikal yang menjadi masalah bukan saja di Johor tetapi di seluruh negara.

“Sejak beberapa tahun, kerajaan memang sentiasa berusaha mengambil pelbagai langkah dan tindakan wajar untuk memastikan keadaan persekitaran, khususnya kebersihan sungai, terjaga. Namun sifat masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan kurang prihatin, antara cabaran menangani isu pencemaran sungai. Untuk menangani masalah ini, pendekatan bersepadu dan pembabitan semua pihak dalam mengadakan program pemuliharaan sungai serta alam sekitar adalah dialu-alukan,” katanya.

Menurut Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kualiti air sungai di Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

“Sebanyak 229 daripada 473 sungai di seluruh negara didapati tercemar akibat kesan pembuangan sisa industri. Kemerosotan kualiti sungai kita memberi gambaran ramai rakyat Malaysia masih kurang mengambil berat kaedah pembuangan sisa pejal yang bersih dan teratur. Saya menganggap ini satu lagi contoh ‘first world infrastructure, third world mentality’ dalam kalangan rakyat Malaysia yang mesti diubah.

“Tahap kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan rakyat dan generasi muda amat diperlukan untuk memupuk rasa cinta dan keprihatinan terhadap usaha menjaga kebersihan sungai kita. Hanya dengan ini, usaha memulihkan sungai akan berkesan,” katanya.

Inisiatif hijau ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) dan Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM).

Laman Facebook ‘Sungaiku Hartaku’ turut dilancarkan untuk menjadi wadah yang lebih menyenangkan untuk orang ramai menghubungi agensi kerajaan yang berkaitan dan menyuarakan kebimbangan atau membuat aduan mana-mana pihak tidak bertanggungjawab didapati mencemarkan sungai atau alam sekitar.

“Usaha menjaga sungai kita tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata-mata. Kesedaran orang ramai sangat penting untuk memulihara khazanah alam ini. Kemajuan teknologi memudahkan kita meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan sungai, khususnya melalui media sosial, terutama sekali dalam kalangan generasi muda. Dengan berbuat demikian, orang ramai juga boleh memainkan peranan lebih aktif untuk menangani kes pencemaran sungai yang semakin meningkat dengan melaporkan sebarang perbuatan tidak bertanggungjawab.

“Menerusi program ini, kami berharap menggalakkan masyarakat tempatan menghargai alam sekitar dan bersatu memuliharanya untuk generasi yang akan datang,” kata Normala.

Beberapa aktiviti juga dianjurkan sepanjang hari untuk menanamkan kesedaran dalam kalangan orang ramai pentingnya memulihara sumber alam semula jadi kita dan menyemaikan nilai hijau.

Seramai kira-kira 100 murid sekolah menengah meneroka alam menerusi program Rakan Saintis Sungai CCM untuk melihat sendiri kesan buruk pencemaran. Di bawah program ini, pelajar menjalankan eksperimen untuk menguji kualiti air dan melihat demonstrasi proses rawatan air.

Mereka juga berlumba-lumba mentafsir petunjuk dan menyelesaikan teka-teki menerusi aktiviti Eksplorasi Sungai yang dianjurkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran. Aktiviti ini memberi peluang kepada peserta untuk menambah pengetahuan dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, terutama sekali sungai.

YaHijau pula menganjurkan pertandingan mencipta Kereta Kitar Semula untuk menggalakkan penggunaan semula bahan buangan dan kreativiti dalam kalangan pelajar. Berbekalkan bahan kitar semula dan bateri, pelajar dikehendaki

untuk mencipta kereta elektrik yang menjimatkan tenaga. Untuk menguji hasil ciptaan masing-masing, mereka bertarung di litar lumba untuk memperlihatkan kehebatan kereta.

Program ‘Sungaiku Hartaku’ dilancarkan Mohamed Khaled bersama Normala.

Program ini adalah susulan penubuhan Jawatankuasa Khas Pencemaran Sungai Masai di Johor Bahru untuk menangani keadaan sungai yang semakin tercemar. Jawatankuasa khas ini merancang untuk menganjurkan bengkel pada bulan-bulan akan datang bagi membincangkan usaha sama antara pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam pemulihan sungai.

Di samping itu, jawatankuasa khas yang diketuai Iskandar Regional Development Authority (IRDA) ditubuhkan untuk menaik taraf dan mencantikkan kawasan Kampung Pasir Gudang Baru. Antara inisiatif itu termasuk membina kemudahan tempat laluan pejalan kaki di sekitar sungai untuk menjalin rasa cinta penduduk sekitar dan pelawat terhadap alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 12:07 PM