FARID dan Diana bersama anak sulung mereka, Muhammad.
Oleh Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Pelakon, Farid Kamil, 34, memaklumkan isterinya, Diana Danielle selamat melahirkan anak kedua mereka pada 19 November lalu di Hospital Pantai Kuala Lumpur.

Bayi diberi nama Nur Aurora bermaksud ‘cahaya fajar Subuh’ itu dilahirkan pada jam 4.05 pagi dengan berat 3.29 kilogram menerusi proses kelahiran dalam air (water birth).

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Saya dan Diana memilih kaedah ‘water birth’ kerana ia bagus dan tiada kesan sampingan,” katanya.

Tambah Farid, kaedah itu juga dapat mengurangkan rasa sakit ibu yang bersalin dan berlangsung dengan sangat pantas.

“Proses kelahiran kali ini berlaku dengan agak pantas. Pada jam 6 petang, Diana mula rasa sakit dan saya membawanya ke hospital.

“Pada jam 3 pagi, dia sekali lagi mengadu sakit dan sejam kemudian selamat melahirkan anak kedua kami,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan bagi menyambut kelahiran Nur Aurora, Farid berkata, dia dan Diana banyak membuat kajian menerusi pembacaan, Internet dan merujuk ibu bapanya.

“Sekarang banyak bahan bacaan dan maklumat berkaitan proses kelahiran dalam air. Ibu bapa turut menjadi tempat rujukan saya. Maklumlah mereka lebih berpengalaman dan berilmu,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyaksikan detik bermakna itu, Farid berkata, dia sangat berdebar dan resah.

Walau bagaimanapun, kali ini dia lebih bersedia berbanding kelahiran anak sulung mereka, Muhammad yang kini berusia dua setengah tahun.

“Mungkin kerana sebelum ini sudah ada pengalaman jadi saya lebih bersedia. Debaran tetap ada, tetapi tidak seteruk dulu.

“Muhammad juga memahami dan tahu dia kini bergelar abang. Ketika Diana hamil, dia sudah membahasakan dirinya sebagai abang,” kata Farid.

Bintang terkenal ini turut memaklumkan akan berkongsi gambar bayinya apabila sudah bersedia.

“Buat masa sekarang, saya dan Diana mahu tumpukan perhatian kepada proses berpantang yang berlangsung 100 hari. Biar Diana sembuh sepenuhnya dulu dan apabila sudah bersedia, kami akan kongsi gambar anak kami,” katanya pada majlis pelancaran dan promosi filem Langit Cinta arahan Osman Ali di Menara Kuala Lumpur.

Dalam filem Langit Cinta, Farid yang bergandingan dengan Keith Foo, Fazura dan Siti Saleha memegang watak sebagai Budiman, pemuda yang menetap di pulau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 11:11 AM