IMUDA bersama penganjur dan peserta Art Market Malaysia.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Meskipun masa sudah berlalu, kenangan Imuda bersama rakan pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu arahan Othman Hafsham tidak pernah pudar.

Menerusi sitkom popular yang bermula pada 1985 itulah, dia mencipta kegemilangan bersama pelakon seperti Allahyarham Zami Ismail (Pak Uda), Allahyarham Muhammad Abdullah (Pak Busu), Wan Maimunah (Mak Busu), Khatijah Tan (Mak Ngah), Sulaiman Yassin (Mat Over), Sabri Yunus (Wan Ismail Golok), Angeline Tan, Accapan dan Sathia.

Justeru, kenangan itu kini diabadikan menerusi komik terbitannya berjudul ATEE? Kartun Penglipurlara yang mengambil watak Pak Uda sebagai kandungan cerita.

Imuda berkata, komik ini diterbitkan menerusi syarikatnya Imuda Art dan dijual secara online dan langsung kepada pembeli dengan harga RM10.

“Ia baru saja dipasarkan dan setakat ini sambutan yang diterima sememangnya menggalakkan. Saya sebenarnya sudah lama teringin nak hasilkan komik sendiri, tapi sekarang baru berkesempatan.

“Selama ini buku saya diterbitkan syarikat lain, tapi sekarang saya berani untuk terbitkan sendiri. Ada lagi dua buku konsep sama akan dihasilkan yang juga me­ngambil watak pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

“Cerita yang terkandung dalam buku ini sebenarnya adalah ‘spin off’ watak Pak Uda, tapi isi ceritanya segar. Walaupun Pak Uda sudah tiada, tapi dia tetap hidup dan dekat di hati kita,” katanya.

Menurut Imuda, dia mengambil masa hampir dua tahun untuk menyiapkan komik ini serta mencetak 1,000 naskhah untuk jualan.

“Sebelum jadi pelakon, saya seorang kartunis. Apa yang dilakukan sekarang adalah satu kelainan,” katanya.

Dalam pada itu, Imuda juga akan turut serta dalam Art Market Malaysia yang akan berlangsung di Kompleks Kraftangan, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 28 dan 29 November ini.

“Saya sokong program ini kerana selain kami, ia juga memberi peluang kepada golongan kelainan upaya untuk memasarkan hasil seni mereka terus kepada orang ramai.

“Untuk program ini, saya akan memasarkan lukisan serta komik ini, manakala sebahagian hasil jualan akan disumbangkan kepada tabung derma yang diwujudkan,” katanya.

Kembali bergabung dengan Art Fazil

Selepas berduet dalam lagu Rilek Brader bersama penyanyi Singapura Art Fazil beberapa tahun lalu, nama Imuda kembali menyinar.

Kini mereka bergandingan sekali lagi menerusi lagu berjudul Santai.

“Kami menghasilkan lagu yang mudah diterima semua golongan masyarakat. Selalunya persembahan saya dalam bentuk pakej apabila saya akan menyanyi, berlawak dan mengacara.

“Mungkin saya jarang tampil di media kerana ti­ada produk, tapi bersyukur kerana undangan persembahan tak pernah putus diterima. Tawaran drama sikit-sikit juga ada.

“Saya sebenarnya susah juga nak jawab pertanyaan daripada peminat yang bertanyakan kenapa saya jarang berlakon, tapi sebenarnya memang saya tak ada peluang.

“Saya bukanlah demand atau apa, tapi saya dan pelawak seangkatan ada bakat, sayangnya disia-siakan begitu saja. Keupayaan kami untuk berlawak masih ada,” katanya yang sering diundang mengadakan persembahan bersama Mat Over dan Sathia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 11:47 AM