PENARI Sahli Bahbola bersama ketua penari yang menggigit kepala ‘Kijang Mati Berpangkah’ sebagai tanda memberi tuah kepadanya dan penari lain sebagai permulaan persembahan keunikan etnik tempatan di Festival Kesenian Orang Asli dan Peribumi Antarabangsa 2015 (FKOAP).

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengadakan Festival Kesenian Orang Asli dan Peribumi Antarabangsa 2015 (FKOAP) anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bermula semalam hingga 25 Oktober ini (Ahad) di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Tarikan utama festival ini ialah keunikan budaya Orang Asli dan peribumi dari luar negara yang bergabung dengan Orang Asli dalam negara, masyarakat peribumi Sabah dan Sarawak. Selain itu ia menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

FKOAP dijangka mampu menarik pelancong dari seluruh dunia seperti program Melbourne Indigenous Arts Festival (Australia), Darwin Aboriginal Art Fair (Australia) dan The Global Indigenous People Performing Art Festival (Taiwan).

Festival itu diadakan bagi memaparkan keunikan budaya masyarakat Orang Asli dari dalam dan luar negara di samping mewujudkan keunikan jaringan masyarakat peribumi serantau yang kukuh.

Pada masa sama menjadi salah satu elemen tarikan pelancong sempena Malaysia Year of Festival (MyFEST).

Sekali gus membantu dalam membangunkan dan menyemarakkan kebudayaan masyarakat O­rang Asli serta peribumi.

Program ini juga bertujuan mempromosikan negara ini sebagai destinasi pelancongan budaya pering­kat antarabangsa menerusi penyerlahan seni dan budaya Orang Asli serta etnik tempatan dalam kalangan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Menurut Juli Edo, Orang Asli mempunyai tiga rumpun bangsa yang terbentuk daripada 19 suku kaum.

Setiap suku kaum ialah entiti etnik tersendiri yang kaya dengan budaya masing-masing.

Mereka wujud sebagai sebuah masyarakat yang dibendung teguh oleh adat dan nilai yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

Festival yang julung kali diadakan sempena MyFEST itu menghimpunkan hampir 300 peserta masyarakat Orang Asli dan peribumi dari dalam serta luar negara.

Program diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menghimpunkan Orang Asli dan peribumi dari tujuh negara iaitu Ghana, Indonesia, New Zealand, Kanada, China, Filipina dan Thailand.

Masyarakat Orang Asli dan peribumi dari negara ini pula diwakili Kumpulan Teveloi Pos dari Simpang Pulai, Perak, Kumpulan Bahbola (suku kaum Semai) dari Gombak, Selangor, Kumpulan Jo’oh (Orang Asli Mahmeri) dari Pulau Carey, Selangor, Kumpulan Sewang Lanok (Orang Asli Temuan) dari Jelebu, Negeri Sembilan, Kontinjen Semelai Bera (Orang Asli Semelai) dari Bera, Pahang, Kumpulan Orang Asli Seletar dari Kampung Bakar Batu, Johor, Kumpulan Seni Tari Keningau dari Sabah dan Kumpulan Tari Etnik Iban dari Dayak Cultural Foundation (DCF), Kuching, Sarawak.

Antara pengisian termasuk persembahan negara, pameran, jualan, demonstrasi dan persembahan sisipan di Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), KL Sentral, hadapan pusat beli-belah Sogo dan Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 12:40 PM