Kuala Lumpur: Gandingan beregu bebas Hoon Thien How-Lim Khim Wah hampir menepati ramalan Terbuka Taiwan apabila mara ke suku akhir semalam.

Wakil Akademi Sports Affairs itu tidak berdepan masalah menang aksi pusingan kedua, menumpaskan pasangan tuan rumah, Liao Kuwn Hao-Lu Chia Pin 21-14, 21-17 dalam tempoh 36 minit.

Jurulatih Rosman
Razak berkata, Thien How-Khim Wah bermain cemerlang berbanding kelmarin, mungkin kerana dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang.

“Kalau mereka bermain baik seperti ini dan mendapat rentak, tidak mustahil akan layak ke separuh akhir seperti disasarkan,” kata bekas jurulatih beregu wanita kebangsaan itu semalam.

Pilihan keempat kejohanan itu akan bertemu pasangan Thailand, Wannawat Ampunsuwan-Tinn Isriyanate yang sebelum itu menumpaskan Taiki Shimada-Yoshinori Takeuchi 21-12, 23-25, 21-18.

Turut mara pasangan lelaki Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Wee Gieen-Teo Ee Yi apabila mencatat kemenangan ke atas Po Li Wei-Yang Ming Tse dari Taiwan dan akan bertemu beregu Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Dua beregu campuran turut mara apabila Tan Chee Tean-Shevon Lai mengalahkan Jun Bong Chan-Kim Hye Rin (Korea Selatan) 21-12, 21-17 dan Tan Kian Meng-Peck Yen Wei menang ke atas pasangan tuan rumah, Hung Ying Yuan-Hsieh Pei Shan 23-21, 21-13.

Sementara itu, pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren terkandas di pusingan ketiga apabila tumpas kepada wakil tuan rumah, Wang Tzu Wei yang juga pilihan kelima, 16-21, 21-18, 11-21.

Nasib sama menimpa pemain pilihan kedua kejohanan Zulfadli Zulkiffli apabila menarik diri ketika ketinggalan 20-22, 7-13 kepada Anthony Ginting dari Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:41 AM