DATUK Koay Teng Keong (belakang kanan) dan Teh Yean Teong (kanan) mengaku tidak bersalah.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Seorang bekas pengarah urusan syarikat kejuruteraan bergelar datuk dan seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan invois berjumlah RM1.116 juta berhubung kerja-kerja logistik 200 unit lori, empat tahun lalu.

Datuk Koay Tengo Keong, 57, dan Teh Yean Teong, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa membuat tuntutan palsu invois masing-masing bernilai RM605,200 dan RM511,400 bertarikh 11 Mac dan 13 Mac 2010 yang sebenarnya mereka mengetahui kerja-kerja logistik itu tidak dilakukan. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Gadang Engineering (M) Sdn Bhd, Wisma Gadang, No 52, Jalan Tago 2, Off Persiaran Utama, Sri Damansara dekat sini pada Mac 2010.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dibawah seksyen 24 (2) (b) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau RM10,000.

Mahkamah kemudian membenarkan mereka yang diwakili peguam JR Tay diikat jamin RM80,000 setiap seorang dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan ditetapkan pada 18 Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 3:49 PM