ELAKKAN tumbuhan berkayu kerana ia menambah beban kepada struktur taman.
KREATIVITI anda mampu mengubah suasana suram tampil lebih ceria.
KREATIVITI dan penyediaan bekas tanaman sesuai sangat penting.
TEKNIK menanam dan penyelenggaraan betul membantu pokok tumbuh subur.
Oleh Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Berdepan suasana jerebu pastinya membuatkan peminat landskap tercari-cari idea untuk terus berkebun sama ada dalam bangunan atau kediaman.

Di negara ini, konsep tanaman vertikal atau menegak kian mendapat perhatian khususnya dalam manfaatkan keluasan ruang yang ada.

Konsep ini sebenarnya sudah lama diamalkan di negara maju iaitu penanaman dalam bangunan dengan memperlihatkan suasana semula jadi dan nilai estetika.

Dikatakan konsep unik ini sudah melalui evolusinya tersendiri bermula dengan kewujudan Taman Tergantung Babylon pada kurun ke-600 Sebelum Masihi (SM) yang menyaksikan penanaman pokok di teres lereng bukit.

Teknik itu berkembang pada abad ke-16 di India, Sepanyol, Russia dan popular di Eropah hingga kini.

Konsep laman vertikal adalah inovasi perkebunan di ruang terhad terutama apartmen dan teres.

Ia sesuai untuk menghijaukan kawasan dinding bangunan kerana tidak memerlukan ruang yang luas.

Pada masa sama, ia membabitkan penghasilan taman atas permukaan menegak dengan pokok tumbuh dengan baik.

Permukaan ini disokong struktur tertentu dan mempunyai medium tanaman atau tanah yang mencukupi.

Kaedah penyiraman atau sumber air perlu diambil kira kerana laman berada dalam kedudukan menegak. Paling sesuai ialah siraman titis, kabus atau semburan.

Dari segi pemilihan medium tanaman pula perlu mengikut kedudukan laman sama ada di dalam atau luar kediaman bagi memastikan ia tidak mengotorkan ruang.

Antara keperluan untuk membina taman vertikal ialah bekas tahan karat yang menjadi struktur pemegang.

Seterusnya kain guni atau ‘geotekstil’ untuk membentuk poket dan berfungsi sebagai ejen pengaliran air semula jadi.

Selain itu, denim juga sesuai kerana ia tahan lasak dan mampu memegang atau menahan tanah.

Medium tanaman yang sesuai adalah dari jenis ringan dan mampu membekalkan air serta nutrien kepada tumbuhan.

Antara jenis tanaman sesuai ialah sayur-sayuran dan buah-buahan atau tanaman hiasan jenis malar hijau, berbunga kecil dan berwarna-warni.

Elak tumbuhan berkayu kerana ia menambah beban kepada struktur taman seperti paku pakis, pokok duit-duit, kemunting cina, pokok labah-labah, resam batu, lidah mentua, petunia dan episcia.

Secara tidak langsung landskap semula jadi ini membantu menyejukan persekitaran dan mengalih pemandangan berjerebu.

Tidak sukar mewujudkan taman konsep vertikal. Ini kerana anda hanya perlu mengikuti beberapa

langkah.

Mulakan dengan memilih lokasi atau dinding sesuai untuk menempatkan tanaman pilihan sebelum mengukur.

Langkah kedua, betulkan kedudukan dinding jika keadaannya tidak seimbang. Kemudian gunakan gerudi dan tukul untuk membuat lubang pada dinding itu.

Seterusnya letakkan paku atau gantung cangkuk sebelum bekas tanaman digantung.

Bagi memastikan daya tahan paku atau cangkuk itu, ada boleh mengujinya dengan menggantung

pasu yang sudah berisi pokok dan medium tanamannya.

Apabila didapati benar-benar sesuai, anda boleh mula menanam pokok pilihan di dalam pasu sebelum digantung atau diletakkan pada dinding taman vertikal itu.

Kreativiti anda juga mampu mengubah suasana suram tampil lebih ceria khususnya dalam pemilihan tanaman dan pasu atau bekas tanaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Oktober 2015 @ 5:01 AM