Mehmet mahu pemain fokus perlawanan menentang T-Team. - Pix ESPN
Oleh Esme Johari Wahab
esme@mediaprima.com.my


Shah Alam: Jurulatih Selangor Mehmet Durakovic yakin pemain skuad itu mampu meneruskan momentum kejayaan melayan kunjungan T-Team pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam minggu depan.

Jurulatih Australia itu bersikap positif biarpun didesak meletak jawatan berikutan kegagalan menyerlah dalam kempen Piala Malaysia dan Liga Super musim ini.

“Saya ok. Persiapan pasukan berada di tahap terbaik. Saya gembira dengan sesi latihan dan prestasi pemain. Kami menduduki tangga teratas kumpulan,” katanya hari ini.

Ditanya situasi masa ini serta kritikan menjengah telinganya dan musim depan masih belum terjamin bersama Selangor, Durakovic berkata:” Saya memberikan segala gala terbaik demi pasukan Selangor. Saya seorang pemenang. Kita pandang ke depan,” katanya.

Selangor menang 1-0 di Kota Bharu minggu lalu. Ia kemenangan kedua dengan satu kalah dan satu seri selepas empat perlawanan dalam kempen Piala Malaysia setakat ini.

Selangor mengumpul tujuh mata selaku pasukan teratas Kumpulan C.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 9:05 PM