SISTEM pemantauan jarak jauh beri pilihan kebaikan kesihatan untuk pesakit mendapatkan rawatan di rumah, namun masih kekalkan status pemantauan doktor, jururawat.
Oleh Afiq Hanif
afiq_hanif@mediaprima.com.my

Industri penjagaan kesihatan kini sedang membangun pantas sehingga ia memerlukan teknologi yang menyepadukan segala-galanya sekali gus memudahkan pesakit.

Model operasi kesihatan kini sedang direka semula untuk menyesuaikan diri dengan pengaruh data pesakit yang semakin meningkat.

Perkongsian unik yang terjalin antara pesakit dan data menjurus kepada perubahan dunia digital terutama ketika dunia sedang bergerak dalam Internet untuk segalanya (IoT).

Kebanyakan perubahan ini hasil revolusi data yang memberi kuasa kepada rakyat untuk mendapatkan kehidupan yang lebih sihat dengan menggunakan peranti yang bersambung seperti tablet, peranti boleh pakai dan alat digital bebas tangan lain.

Melalui IoT, pengguna mempunyai kuasa mengawal kesihatan mereka sendiri dengan cara yang lebih bersifat peribadi.

Kemajuan dalam teknologi berasaskan ‘cloud’ juga menjadi punca utama perubahan digital dalam perubatan. Sebagai contoh, perkongsian strategik unik antara syarikat elektronik Philips dan perisian Salesforce.com mewujudkan platform yang membolehkan peranti perubatan untuk beroperasi bersama set data yang dulunya berasingan dan melecehkan.

Analisis data ini dikumpulkan melalui rekod perubatan elektronik, maklumat diagnostik melalui peralatan pengimejan, monitor dan peranti peribadi yang meningkatkan kuasa membuat keputusan lebih profesional serta membolehkan pesakit mengambil peranan yang lebih aktif dalam menguruskan kesihatan peribadi mereka.

Inovasi ini sedang mengubah bukan hanya menjaga pesakit kronik, tetapi individu yang mahu kekal sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif Penyelesaian dan Perkhidmatan Informatik Kesihatan Philips, Jeroen Tas berkata, analisis data peribadi yang mewah menjadi perkara biasa.

“Individu disediakan dengan strategi khusus untuk memerangi penyakit dan teknologi sosial akan membolehkan kita untuk menguruskan kesihatan sendiri.

“Dari data yang dihasilkan, kita mengetahui bagaimana meningkatkan kesejahteraan dan terdorong untuk mengambil langkah susulan,” katanya.

Kata Tas, sebagai pengguna lebih kawalan dalam dunia digital, model perniagaan industri kesihatan perlu berevolusi dengan mengambil kira hakikat mana-mana syarikat kini boleh menjadi penyedia penjagaan kesihatan selagi teknologi mereka memberi makna kepada pelanggan.

Teknologi IoT mempunyai kuasa mengubah industri, menguruskan kos dan menawarkan hasil yang berkualiti untuk keseluruhan rantaian bekalan dalam industri kesihatan.

Ia berasaskan dua ciri iaitu perkakasan dan perisian. Misalnya sensor, peranti mudah alih dan teknologi berkaitan mempamerkan peluang baru.

Contoh lebih jelas, ramai di kalangan komuniti perniagaan peranti mempunyai perkakasan IoT menarik seperti Fitbit atau Apple Watch sekali gus menawarkan butiran lebih baik untuk mengesan tahap kesihatan.

Pada masa sama, ia mengumpul kehidupan peribadi dan digital serta merumuskan data kesihatan meskipun ramai yang masih skeptikal dengan perkongsian maklumat kesihatan tidak sesuai yang dikatakan merosakkan kerjaya atau reputasi.

Namun hakikatnya, perkongsian data kesihatan mempunyai potensi keuntungan yang besar dalam kecekapan penjimatan kos yang ketara.

Agensi penyelidik, Goldman Sachs mengang­garkan IoT mampu menjimatkan berbilion-bilion ringgit untuk rawatan asma.

Bagaimana IoT boleh menjimatkan kos rawatan pesakit?

Contoh jelas, pemantauan pesakit yang fleksibel memandangkan menjaga pesakit di hospital lebih mahal.

Perbelanjaan kesihatan keseluruhan dalam peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada RM8.303 juta atau 2.95 peratus pada 1997 kepada RM44.748 juta (4.53 peratus) pada 2013.

Dalam satu data, dibandingkan dengan perbelanjaan kesihatan antara sektor awam dan swasta, nisbah berterusan pada lebih 52 peratus bagi sektor awam dan lebih 47 peratus bagi sektor swasta dalam tempoh 1997 hingga 2013.

Pada 2013, sebanyak 81.13 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan swasta adalah perbelanjaan di luar jangkaan dan meningkatkan risiko diancam bencana beban kewangan akibat penyakit.

Cabaran dalam menyampaikan penjagaan kesihatan di Malaysia termasuk peningkatan populasi warga emas yang dijangka bertambah 15 peratus pada 2030, peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) sebagai punca utama kematian dan morbiditi, perubahan corak penyakit, sosio demografi dan kemunculan penyakit baru serta memastikan ekuiti dalam kesihatan untuk golongan kurang bernasib baik.

Sistem pemantauan jarak jauh memberi pilihan kebaikan kesihatan untuk pesakit mendapatkan rawatan di rumah mereka, namun masih mengekalkan status pemantauan mereka oleh doktor dan jururawat.

Sebelum ini, terdapat sistem yang diperkenalkan, BodyGuardian menangani keperluan keselamatan dalam beberapa kaedah.

Sistem ini memisahkan maklumat pengenalan dan pemerhatian pesakit data. Di samping itu, sistem menyulitkan data dalam peranti ketika penghantaran dan simpanan.

IoT juga membolehkan sistem pengurusan ubat yang lebih baik apabila perbelanjaan mencipta dan menguruskan ubat-ubatan salah satu isu terbesar yang dihadapi oleh industri penjagaan kesihatan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IoT REDTone Dr Mazlan Abbas berkata, kemampuan IoT dalam kesihatan memberi empat manfaat termasuk memperbaharui prestasi atau produktiviti, mengurangkan kos, mencipta inovasi produk yang baru dan sumber meningkatkan pendapatan.

“Jika satu yang perlu difokuskan sekarang di negara, ia pastinya pengurangan kos,” katanya.

Kata Dr Mazlan, sebaik kita berupaya mengurangkan kos dan mengelakkan berlakunya kebocoran, kita boleh beralih kepada visi lebih besar iaitu memperbaiki tahap produktiviti.

Beliau memberi contoh dalam industri kesihatan, pesakit perlu beratur lama sedangkan ia boleh diperbaiki pada masa depan.

“Berapa kali anda mendaftar pada waktu pagi, tetapi hanya boleh selesai ketika tengah hari atau petang? Berapa banyak masa yang dibazirkan,” soalnya.

Dr Mazlan berkata, beberapa persoalan yang boleh diselesaikan dengan IoT termasuk:

- Adakah kita kekurangan doktor dan pakar?

- Adakah kita mempunyai terlalu ramai pesakit di Malaysia?

- Bolehkan kita me­ngautomasikan proses?

- Bolehkah kita mengenalpasti punca masalah kesihatan?

- Bolehkan kita memudahkan doktor dan pakar mengakses data pesakit dengan mudah?

- Boleh kesihatan kita dipantau secara jauh dan bukannya terlalu kerap ke hospital untuk pemantauan susulan?

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 5:26 AM