Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Yuen Yuet Leng di Xiao En Centre, Cheras, hari ini. - Foto BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi penghormatan terakhir kepada bekas Pesuruhjaya Polis Sarawak Tan Sri Yuen Yuet Leng di Xiao En Centre, Cheras, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri disambut bekas Menteri Pelancongan Datuk Seri Ng Yen Yen dan anggota keluarga Yuen sebaik tiba di pusat itu petang tadi.

Ahmad Zahid kemudian bertafakur seminit berhampiran mayat Yuen yang diletakkan dalam keranda putih dan kemudian menyampaikan ucapan takziah kepada anggota keluarga mendiang.

Penasihat DAP Lim Kit Siang yang turut berada di pusat itu turut berbuall dengan Timbalan Perdana Menteri dan anggota keluarga Yuen.

Yuen yang juga bekas ketua polis Perak meninggal dunia di kediaman anak perempuannya di The Mines, Seri Kembangan pada kira-kira 6 pagi berikutan

masalah jantung pada usia 88 tahun.

Mendiang terkenal dengan jasanya sebagai salah seorang perunding utama Rundingan Damai Hatyai dan bersama bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor ke China bertemu pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, Abdullah CD dan Rashid Maidin.

Beliau juga pernah cedera ditembak di dada dalam pertempuran dengan pengganas komunis di Grik pada 1951 ketika China Peng menjadi setiausaha agung PKM.

Yuen meninggalkan isteri Puan Sri Chan Choy May, 68, dua anak perempuan Susan Yuen Sumin, 56, dan Marina Chan Chean Gaik, 54, dan dua cucu berusia 20-an.

Mayat mendiang ditempatkan di Xiao En Centre, Cheras sehingga Sabtu ini bagi membolehkan anggota keluarga dan sahabat-handai memberi penghormatan terakhir. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2015 @ 5:56 PM