HEE-YOUNG (dua dari kiri) bersama Pengurus Pemasaran Kanan Mary Kay Malaysia, Karen Ng diapit dua model ketika sesi pelancaran alat solek Mary Kay, baru-baru ini.
Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


Seiring kepantasan peralihan fesyen semasa, begitu juga gaya solekan dan dandanan rambut yang berubah mengikut musim.

Kini tiada lagi solekan tebal yang memperlihatkan wanita lebih menonjol, tetapi sapuan semula jadi seakan-akan seperti tidak bersolek mula me­ngambil alih pasaran, ditambah kemunculan selebriti dari Asia khususnya Korea menjadikan solekan sebegini mendapat perhatian.

Menurut jurusolek artis Korea, Seo Hee-Young yang dibawa khas sempena pelancaran alat solek Mary Kay, di negara terbabit solekan ringkas yang menyerlahkan keang­gunan wanita menjadi tarikan utama. Bagi mereka, semakin nipis solekan atau semakin kurang sapuan alat solek kepada si pemakai, ia lebih bagus.

Namun persoalannya, bagaimana sapuan yang sedikit serta penggunaan alat solek paling minimum mampu menyerlahkan keayuan wanita? Nampak ia seakan-akan sukar diperoleh terutama bagi wanita Malaysia yang sudah terbiasa dengan mainan rona alat solek serta anggapan klise yang mengatakan kecantikan itu bermaksud tebalnya pembayang mata, juga bedak asas dipakai bagi menutup cela atau paling tidak, rona merah gincu yang menyerlahkan keseksian wanita.

Menjelaskan perkara ini, pentingnya seorang wanita memastikan dia memperoleh kulit yang cantik dan sihat menerusi penggunaan pencuci wajah, pelembap dan penyegar. Ini kerana kulit yang sihat akan menampakkan sinar dan keceriaan selepas disolek.

Bagi wanita Korea, tiga bahagian utama yang harus diberi tumpuan ialah mata, pipi dan bibir kerana ketiga-tiga bahagian ini akan memperlihatkan perbezaan ketara sekiranya diberikan sentuhan magis pada warna alat solek.

Sambil menunjukkan langkah demi langkah untuk solekan ala gadis Korea dan juga menghadiri acara malam, Hee-Young mengakui gadis Korea tidak gemar menampilkan diri mereka dalam keadaan bermekap tebal.

“Oleh itu, mereka pastikan penggunaan bedak asas yang mempunyai pelbagai fungsi. Krim CC misalnya bukan saja berfungsi sebagai bedak, tetapi menutup cela dan juga pelembap kulit. Dengan hanya sekali pemakaian, wajah sempurna dan segar,” katanya.

Dalam apa juga gaya solekan, mata memainkan peranan utama. Untuk menghadiri acara kasual, gadis Korea gemar menggunakan rona pusam seperti merah jambu lembut, coklat, ungu lembut dan kelabu digabungkan dengan sedikit kilauan bagi mewujudkan kesan lebih menyerlah.

Penampilan masih belum sempurna tanpa celak yang dioles pada bahagian hujung atas kelopak mata. Menerusi celak cecair Mary Kay, wanita boleh melukis garis halus sehingga tebal untuk memberikan kesan serlahan di­inginkan.

Untuk ke kelas atau acara santai, layangan celak tidak terlalu tebal cukup dengan hanya satu garisan halus kemudian pada bahagian hujung sedikit tebal.

“Ini berbeza bagi mereka yang ingin menghadiri majlis makan malam atau acara yang memerlukan seseorang itu tampil mengikut konsep, solekan harus kelihatan terutama penggunaan celak dan pembayang mata. Biasanya warna mata sedikit terang dan berkilau,” katanya.

Akhir sekali, sudahi dengan gincu dan pengilat bibir rona semula jadi untuk acara santai dan rona terang untuk acara bertema.

Hee-Young juga memberikan panduan mudah bersolek ala wanita Korea iaitu dengan memberikan tumpuan kepada bahagian mata menerusi celak dan pembayang mata. Gincu jenama ini juga boleh dijadikan pemerah pipi iaitu dengan mencalitkan sedikit pada pipi dan perlahan-lahan gosok sehingga mewujudkan kesan kemerah-merahan.

Apa yang penting, elak penggunaan bedak asas terlalu tebal sehingga memperlihatkan kulit tidak sekata. Krim BB atau CC dianggap produk terbaik kerana ia mengandungi semua fungsi lengkap termasuk pelembap, memberikan rona segar pada kulit dan menutup cela.

Untuk musim ini, Mary Kay memperkenalkan alat solek terkini yang memberikan pelbagai fungsi kepada pengguna. Celak cecair berbentuk pen memudahkan aplikasi agar sapuan tidak comot.

Pembayang mata pula tampil dengan warna menawan dan sesuai dipakai untuk semua acara. Gincu Tru Dimension direka bagi menjadikan bibir gebu dan melicinkan garis halus. Pemerah pipi dengan dua rona menawan bukan saja untuk pipi yang cantik berseri tetapi solekan tahan lama. Produk berharga RM49 sehingga RM65.

Seperti tahun sebelumnya, sekali lagi Mary Kay melancarkan pertandingan Dream Beautiful 2015 bagi mencungkil bakat baru yang akan mewakili Malaysia ke peringkat akhir Mary Kay Dream Beautiful Asia Pasifik di Hong Kong dari 19 sehingga 24 Februari 2016. Untuk maklumat lanjut layari www.mkdreambeautiful.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 4:00 AM