Mustapa pada mesyuarat pertama Majlis Aeroangkasa Malaysia, semalam.

Kuala Lumpur: Industri aeroangkasa Malaysia diunjur menjana perolehan yang lebih tinggi RM12.6 bilion pada 2015 berbanding RM11.8 bilion tahun lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, industri itu berkembang kukuh dengan 159 syarikat menyediakan pekerjaan kepada 19,500 orang setakat ini dan pada masa sama merealisasikan pelaburan domestik serta asing berjumlah RM29.4 bilion hingga tahun lalu.

Beliau berkata, Malaysia pasaran kedua terbesar untuk pengeluaran aeroangkasa di Asia Tenggara, menguasai 24 peratus pasaran, selepas Singapura.

“Kami menyasarkan muncul nombor satu pada 2030, dengan industri ini diunjur menjana perolehan RM55.2 bilion dan menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi kepada lebih 32,000 rakyat Malaysia,” katanya selepas menghadiri mesyuarat pertama Majlis Aeroangkasa Malaysia, di sini, semalam.

Mustapa berkata, industri aeroangkasa dikenal pasti sebagai bidang pertumbuhan tinggi dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan akan menjadi antara tumpuan utama MITI dalam sektor pengeluaran selain peranti perubatan.

Bagi menjayakannya, beliau berkata, usaha perlu dijuruskan kepada usaha mempromosi ekosistem kukuh Malaysia sebagai asas pengeluaran seperti Boeing dan Airbus serta meningkatkan kemahiran.

Mustapa berkata, perusahaan kecil dan sederhana akan memperoleh manfaat daripada pertumbuhan industri itu memandangkan 30 syarikat dikenal pasti terbabit dalam industri berkenaan.

Mengenai langkah kerajaan menyediakan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi dana strategik pelaburan domestik dalam RMK-11, beliau berkata, ia memberi lebih banyak manfaat kepada penggiat dalam industri aeroangkasa kerana dalam RMK-10 kira-kira RM800 juta pinjaman disediakan untuk 180 syarikat.
- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 6:32 AM