KATE sebagai Catherine yang diminati Neil Clarke.
ANTARA babak dalam Absolutely Anything.
Oleh Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


Filem mengenai makhluk asing sememangnya menjadi kegilaan suatu ketika dulu.

Namun jika bercakap pada konteks pasaran kini, barangkali kisah berunsur sains fiksyen begitu bukan menjadi pilihan utama.

Mengetengahkan unsur sama, filem Absolutely Anything yang mula ditayangkan sejak kelmarin mengambil pendekatan tersendiri.

Filem ini mengetengahkan gandingan Kate Beckinsale dan Simon Pegg sebagai watak utama.

Ia juga filem terakhir bintang komedi Robin Williams yang melakonkan watak suara Dennis The Dog sebelum beliau meninggal dunia pada 11 Ogos tahun lalu.

Ditambah dengan elemen lawak, filem berkenaan dilihat ada persamaan dengan Bruce Almighty, tapi dengan ‘twist’ sains fiksyen.

Ia menampilkan watak sekumpulan makhluk asing digelar Monty Phyton lakonan suara Terry Jones, John Cleese, Terry Gilliam dan Michael Palin.

Misi mereka ialah menghancurkan dunia.

Bagaimanapun, sebelum melaksanakan misi itu, satu ujian perlu dibuat di mana mereka perlu menguji seorang manusia dengan kuasa istimewa. Menerusi kuasa itu dia boleh mendapat apa saja permintaannya dalam tempoh 10 hari.

Pada dasarnya, jika manusia terbabit mampu berfikir munasabah dan memanfaatkan kuasa itu, maka dunia boleh diselamatkan.

Sebaliknya, jika dia jenis pentingkan diri sendiri dan angkuh, dunia bakal hancur.

Guru Inggeris, Neil Clarke lakonan Pegg menjadi sasaran mereka, malangnya Clarke pula karakternya biasa, naif dan sederhana.

Bagaimanapun, sesuatu yang dijangka berlaku apabila Clarke bertukar angkuh dan sikapnya jauh berbeza berbanding sebelum itu.

Permintaannya menjadi-jadi seperti di waktu pagi dia mahu dipakaikan pakaian cantik-cantik saja, meminta supaya anjingnya boleh bercakap dan memudahkan dia mendekati jiran diminatinya Catherine (lakonan Kate Beckinsale).

Dengan kuasa itu, Clarke berjaya membuatkan Catherine tertarik dengannya.

Pada masa sama, makhluk asing terbabit mula berasakan sifat sederhana dan biasa Neil sekali gus mengurangkan keyakinan mereka dia mampu hancurkan dunia.

Turut membintangi Absolute Anything ialah Rob Riggle sebagai Grant, Robert Bathurst (James Cleverill), Eddie Izzard (The Headmaster), Joanna Lumley (Fenella), Emma Pierson (Miss Pringle) dan Meera Syal (Fiona).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:01 AM