POKOK bunga kertas tergolong dalam kumpulan tanaman memanjat.
WARNA daun yang menceriakan suasana.
SUBUR dalam rimbunan hijau.
MONEY plant tumbuh segar menjalar jika ditanam sebaiknya.

Pelbagai idea hijau diketengahkan supaya latar landskap impian benar-benar berada depan mata.

Tidak terkecuali tanaman jenis menjalar dan memanjat yang turut tersenarai antara pilihan utama kerana kebanyakannya mudah dijaga.

Anda juga boleh mewujudkan sudut privasi di taman kerana tumbuhan jenis ini turut berfungsi sebagai tirai atau penghadang telus pandang.

Tumbuhan memanjat mempunyai tendril untuk membantunya memanjat atau membelit sokongan.

Selain itu ada tumbuhan memanjat yang boleh melekat pada sokongan kerana bahagian akarnya mengeluarkan ‘pelekat.’

Sementara tumbuhan menjalar pula tumbuh melata dan sesuai sebagai tanaman hiasan penutup bumi.

Pokok nyonya makan sirih atau clerodendron thomsonae dan pokok bunga seri pagi antara spesies dalam kumpulan itu.

Pokok seri pagi umpamanya bukan sekadar menyembunyikan kecacatan pagar atau ruang dinding taman, malah menyerlah suasana hijau dan variasi di taman.

Seterusnya tumbuhan menjalar tidak mempunyai alat untuk memanjat, sebaliknya tumbuh melata di atas permukaan.

Umpamanya hemigrapis atau hemigraphis colorata dan bunga ros Jepun atau Portulaca grandiflora.

Ros Jepun digemari ramai kerana bunganya yang menarik dan penjagaan mudah.

Tumbuhan menjalar pula ditanam untuk mengawal hakisan tanah atau sebagai reka bentuk seni taman.

Tumbuhan memanjat pula ialah tanaman hiasan yang tumbuh tegak, tetapi boleh memanjat jika mendapat sokongan pokok lain.

Antaranya pokok bunga kertas atau Bougainvillea sp dan pokok petrea atau petrea volubilis.

Tumbuhan memanjat memerlukan para, dinding atau struktur lain untuk memanjat dan memberi teduhan atau perlindungan daripada pandangan.

Biasanya tumbuhan memanjat ditanam di atas batas setinggi 15 sentimeter. Gali lubang yang mempunyai panjang, lebar dan dalam berukuran 10 sentimeter setiap satu.

Anak benih ditanam di dalam lubang itu dan ditimbus padat. Ketika menanam, gunakan sungkupan jika perlu untuk mengurangkan pertumbuhan rumpai dan mengekalkan kelembapan tanah.

Pada masa sama sebahagian daripada kawasan laman berturap pula boleh dibongkar untuk memberi lebih ruang penanaman pokok menjalar itu.

Penggunaan kotak kontena besar yang dipenuhkan dengan tanah campuran sempurna juga turut menjadi alternatif menghijaukan taman dengan tanaman memanjat.

Selain penggunaan pasu, bakul gantung atau kotak bunga di tingkap dan dinding menjadikan taman lebih menarik.

Bagi taman yang sedikit luas, kehadiran gazebo menambahkan suasana santai di ruang itu dan pastinya menjadi tumpuan saban waktu.

Taman juga kelihatan hijau dan mendamaikan jika anda bijak mewujudkan sudut tanaman sayur-sayuran serta ulam-ulaman untuk kegunaan sendiri.

Tanamlah dengan pokok yang benar-benar diperlukan dan selalu digunakan dalam masakan atau makanan harian keluarga.

Tetamu yang terpandang sudut itu pasti kagum kerana dalam kesibukan anda dengan kerjaya, masih mampu mewujudkan sudut berkenaan.

Membeli tanaman memanjat yang ditanam dalam pasu antara pilihan bijak kerana akarnya tidak banyak terganggu apabila ia dipindahkan ke tanah.

Tanaman dalam pasu yang dibeli perlu dipastikan juga permukaan tanah tidak diliputi lumut atau akar yang terkeluar dari lubang saliran air pada bahagian bawah pasu.

Anda digalakkan membeli tanaman memanjat yang berkualiti dan bebas serangan serangga perosak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2015 @ 5:00 AM