UNIT perniagaan Milo memenangi anugerah Gerai Jualan Terbaik.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my

Selaras dengan komitmen untuk membawa perubahan positif terhadap masyarakat, Nestle Malaysia baru-baru ini menganjurkan bazar amal bertujuan mengumpul dana.

Acara berkenaan sebahagian daripada Program Sukarelawan Kakitangan ‘Membantu Masyarakat dan Kanak-Kanak’ (Reaching Out to Community and Kids - ROCKS).

Menariknya, program yang diberi nama, ROCKin’ Bazaar itu berjaya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung yang singgah untuk menunjukkan sokongan mereka.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Kumpulan Nestle Zainun Nur Abd Rauf berkata, program berkenaan adalah satu platform yang baik untuk kakitangan jenama itu membantu dan menyumbang secara positif kepada masyarakat setempat.

“Kami sentiasa berpegang kuat pada falsafah Menjana Nilai Bersama sebagai salah satu asas penting dalam menjalankan perniagaan. Justeru, kami berbangga dengan semangat yang ditunjukkan sukarelawan terbabit dan pengunjung yang datang ke bazar ini.

“Program ini dilihat sebagai satu kejayaan yang besar kerana berjaya me­ngumpul dana melebihi RM53,000. Hasil kutipan akan disalurkan kepada tiga pertubuhan amal khususnya Pusat Jagaan Mesra Limpahan Kasih, Pertubuhan Kebajikan Yesuvin Mahligai Selangor dan Pusat Jagaan Kanak-kanak Down Syndrome dan Hyper Active,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyerahan dana berkenaan, Pengarah Urusan Nestle Malaysia Berhad Alois Hofbauer.

Sementara itu, menurut wakil Pusat Jagaan Kanak-kanak Down Syndrome dan Hyper Active Bukit Tinggi Klang, S Gunarasa, pihaknya terharu apabila membaca ucapan yang ditulis oleh pengunjung pada kad ucapan istimewa yang disediakan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung yang menyumbang dana ini dan juga penganjur kerana memilih rumah kebajikan ini untuk menjadi antara penerima sumbangan hasil daripada program itu,” katanya.

Program yang dianjurkan di pekarangan lobi Menara Surian dengan kehadiran sukarelawan jenama berkenaan itu menyediakan beberapa gerai jualan yang dihias mengikut tema ala vintaj Inggeris.

Suasana karnival dimeriahkan dengan suara sukarelawan mempromosikan pelbagai barangan jualan kepada pengunjung termasuk pelbagai manisan, aneka sajian masakan terdiri daripada makanan tempatan hingga Barat dan produk terpilih.

Terdapat juga gerai foto bagi pengunjung bergambar dengan peralatan berwarna-warni dan merakamkan keseronokan membawa pulang kenangan beramal di bazar itu.

Bukan itu saja, pengunjung juga digalakkan menulis ucapan kepada penghuni rumah kebajikan yang dipilih pada kad ucapan yang disediakan.

Usaha murni sukarelawan yang terbabit juga mendapat penghargaan yang setimpal kerana Unit Perniagaan Milo memenangi anugerah Gerai Jualan Terbaik yang melayakkan mereka memenangi baucar beli-belah bernilai RM500 manakala Bahagian Jualan memenangi anugerah Gerai Hiasan Terbaik dan mendapat baucar beli-belah bernilai RM200.

Awal tahun ini, Nestle Malaysia meraikan ulang tahun ke-10 Program ROCKS Nestle. Sejak dimulakan pada 2005, program berkenaan berjaya memperbaiki kehidupan mereka yang memerlukan.

Sejak sedekad yang lepas, program berkenaan menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk membina rumah untuk mereka yang memerlukan di Kampung Hulu Tamu bersama TetraPak, membantu masyarakat Orang Asli di Ulu Batu, Ulu Yam dan melawat rumah orang tua serta menganjurkan aktiviti bersama kanak-kanak kurang bernasib baik sempena musim perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya dan Deepavali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 12:45 PM