WAN Abdullah menunjukkan botol minuman yang dicampur dadah ecstasy dan ketamin. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur menumpaskan sindiket penjualan dadah jenis pil ectasy dan ketamin melalui air minuman dengan menahan empat lelaki dan tiga wanita di dua lokasi berasingan, pada jumaat dah kelmarin.

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak berkata, dalam dua serbuan itu polis merampas 264 botol minuman pelbagai jenama dan perisa yang dianggarkan bernilai RM38,000.

"Hasil risikan dan siasatan kami (polis) pasangan suami isteri ditahan di dalam kereta jam 10 malam, jumaat lalu, di Shamelin Perkasa, di sini. Pemeriksaan pada kenderaan suspek menemui 10 botol minuman berperisa teh limau ais yang disyaki telah dicampur dadah.

"Soal siasat ke atas pasangan suami isteri terbabit membawa polis kepada sebuah rumah teres sebelum tiga lelaki dan dua suspek wanita berjaya ditahan bersama 254 botol minuman pelbagai perisa yang dipercayai akan diedarkan kepada pelanggan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, semua suspek berusia 20 hingga 28 tahun kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 3:26 PM