YEOH Kian Teik meninggal dunia akibat sakit tua.
Oleh Muhamnad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


Ipoh: Bapa kepada pelakon terkenal Hollywood Tan Sri Michelle Yeoh, meninggal dunia pada jam 6.15 petang tadi.

Mendiang Datuk Yeoh Kian Teik, kini ditempatkan di kediaman keluarganya di Lebuh Lasam, di sini dan Michelle Yeoh turut berada bersama ketika mendiang menghembuskan nafas terakhir selepas pulang ke tanah air tiga hari lalu.

Balunya Datin Janet Yeoh berkata, suaminya yang berusia 89 tahun meninggal dunia akibat sakit tua.

"Mendiang kini ditempatkan di rumah kami di Lebuh Lasam dan Michelle pula sudah kembali ke Ipoh tiga hari lalu untuk bersama bapanya itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pengerusi MCA negeri Datuk Dr Mah Hang Soon turut menyatakan kesedihan di atas pemergian mendiang yang juga adalah veteran serta pengasas MCA.

"Kematiannya adalah satu kehilangan besar kepada masyarakat kerana dia adalah seorang peguam terkemuka dan pemimpin masyarakat.

"Dia juga seorang yang berani untuk bersuara dalam isu membabitkan masyarakat dan dihormati rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 November 2014 @ 8:24 PM