DR CHUAH menerangkan mengenai hepatitis.
Teks dan gambar Kusyi Hirdan

Hati kita sebenar­nya bekerja keras dan menjalankan banyak tugas pen­ting bagi memastikan badan sentiasa sihat. Hati memproses alkohol dan ubat-ubatan, juga mengeluarkan jus pencernaan bagi memproses makanan yang kita makan.

Ia turut membantu pembekuan darah, melawan jangkitan dan menyahkan bahan toksik serta kumuhan daripada darah kita.

Apakah fungsinya yang lain? Hati membuang bilirubin menerusi air hempedu. Bilirubin adalah sisa hemoglobin apabila sel merah mati selepas usia 120 hari. Hati membuat air hempedu dan albumin, menjadi faktor pembekuan darah. Hati menyimpan gula dalam bentuk glikogen, memproses kolesterol, ubat-ubatan, arak dan toksin lain.

Wah! Banyaknya tugas hati! Memang mengelirukan, tetapi itulah hakikatnya, tidak terucap kata-kata betapa organ yang satu itu sangat penting kepada manusia. Dan penyakit hati yang sinonim ialah hepatitis.

Perunding Gastroenterologi & Hepatologi dari Hospital Pantai Ayer Keroh, Melaka Dr Chuah Seong York berkata, ramai yang terkeliru dengan istilah hepatitis itu sendiri.

“Hepatitis sebenar­nya bermaksud radang hati ataupun hati bengkak. Kalau dilihat dari segi perkembangan hepatitis, kita membahagikan ia kepada dua jenis iaitu hepatitis yang akut atau kronik.

“Akut bermaksud ia terjadi dengan tiba-tiba dengan gejala seperti demam panas dan demam kuning. Namun, apabila sembuh ia tidak meninggalkan apa-apa komplikasi.

“Apabila hati menjadi keras, terjadilah gejala hati keras. Hati yang sudah keras ada dua tahap iaitu satu tahap fibrosis dan satu lagi sirosis,” katanya.

Hepatitis yang kronik pula bermaksud ia tidak menunjukkan apa-apa gejala, tetapi apabila ia berlanjutan lama, hati menjadi keras yang digelar sirosis dan seterusnya komplikasi sirosis.

“Fibrosis boleh menjadi lembut semula sekiranya dirawat dengan betul. Tetapi sirosis tidak boleh disembuhkan dan perlu menjalani pembedahan pemindahan hati sekiranya sirosis menyebabkan fungsi hati tidak seperti yang sepatutnya,” katanya.

Kita memang sering keliru mengenai jenis hepatitis apatah lagi ia disebut bersekali dengan huruf yang mewakili virusnya.

“Banyak sebab yang menyebabkan terjadinya hepatitis. Ada hepatitis yang terjadi kerana jangkitan kuman. Kuman pula ada banyak jenis yang boleh menyebabkan hepatitis.

“Ada virus hepatitis A, B, C, D dan E. Itulah virus yang menyebabkan hepatitis. Ada juga virus lain yang menyebabkan hepatitis seperti virus denggi.

“Sebenarnya hepatitis ialah istilah saja yang bermakna radang hati. Hepatitis itu satu istilah yang am,” katanya.

Cuma hepatitis yang disebabkan kuman yang boleh berjangkit, kata Dr Chuah. Ada hepatitis lain yang bukan disebabkan kuman.

“Ada sejenis bakteria yang menyebabkan hepatitis iaitu bakteria penyakit kencing tikus. Hepatitis yang disebabkan oleh virus kencing tikus bukanlah kronik. Ia akut. Bakteria bukan saja boleh menyebab­kan hepatitis, tetapi juga kerosakan ginjal dan demam kuning. Kalau sembuh, ia tidak mempunyai komplikasi dan ia terus sembuh,” katanya.

Kumpulan kedua penyebab hepatitis ialah arak, kesan sampingan ubat-ubatan dan bahan kimia. Hepatitis yang terjadi kerana sebab ini tidak akan berjangkit.

“Seperti yang dijelaskan, hepatitis yang akut tidak meninggalkan sebarang komplikasi sekiranya pesakit sudah sembuh. Cuma hepatitis yang kronik saja yang membuatkan hati menjadi keras dan rosak.

“Hepatitis yang kronik juga terjadi kerana banyak sebab manakala hepatitis yang kronik cuma hepatitis B dan C,” katanya.

Dr Chuah turut menyatakan fakta berikut yang amat membantu kita memahami mengenai hepatitis:

1. Hepatitis A dan E ialah sejenis hepatitis yang akut.

2. A dan E berjangkit menerusi makanan misalnya makanan yang kotor di gerai.

3. Hepatitis B dan C merebak melalui darah, maksudnya pemindahan darah, berkongsi jarum, tatu dan mencuci buah pinggang.

4. Kebanyakan kes hepatitis B di rantau Asia Pasifik ini disebabkan jangkitan daripada ibu bapa yang mempunyai kuman hepatitis B. Ini bukan diwarisi, tetapi dijangkiti. Ia biasanya daripada si ibu ketika proses kelahiran, dia menjangkitkan kuman kepada bayinya.

5. Hepatitis D pula cuma boleh menjangkiti orang yang mempunyai hepatitis B. Ini kerana virus hepatitis D seperti parasit. Cuma sel yang sudah dijangkiti kuman hepatitis B boleh dijangkit hepatits D.

6. Ada jenis lain hepatitis misalnya hepatitis yang terjadi apabila lemak di dalam darah menyerap ke dalam hati dan menyebabkan radang hati. Ini biasanya terjadi kepada seseorang yang badannya terlalu gemuk - mereka yang ada kolesterol yang tinggi di dalam darah dan juga yang ada kencing manis.

Gejala penyakit hati

1. Kuning.

2. Perut berair, kaki dan muka bengkak.

3. Bilangan sel darah menurun.

4. Darah susah beku dan muntah darah.

5. Keliru dan koma.

6. Buah pinggang rosak.

7. Barah hati.

Bolehkah kita mengesan mereka yang mendapat hepatitis dari luarannya saja?

“Hepatitis ialah istilah yang terlalu am. Tetapi apabila orang yang terlalu gemuk, besar kemungkinan mendapat hepatitis kerana lemak menyerap ke dalam hati. Tetapi sekiranya seseorang itu ada hepatitis B atau C, kita tidak tahu kerana penghidapnya tidak menunjukkan gejala nyata melainkan melalui pemeriksaan darah.

“Bagi hepatitis kronik contohnya hepatitis B, sekiranya 100 orang yang me­ndapat hepatitis B, mungkin 20 orang akan mendapat kekerasan hati iaitu sirosis manakala mungkin lima peratus terkena kanser hati,” kata Dr Chuah.

Cara mengatasi

“Cara mengatasi hepatitis mengikut jenis hepatitis yang dihidapi. Di Malaysia sesiapa yang dilahirkan selepas 1 Januari 1989 sudah disuntik vaksin hepatitis B.

“Cuma dua hepatitis saja yang boleh dicegah dengan suntikan vaksin iaitu hepatitis A dan B. Hepatitis lain misalnya hepatitis C, penghidapnya mesti mengamalkan cara hidup yang sihat dan bersih. Tidak menagih dadah, menjauhi alkohol, jangan bertatu, bertindik dan menjaga hubungan kelamin yang sihat,” katanya.

Nasihat Dr Chuah juga, sekiranya suami ada hepatitis B, isteri mesti disuntik vaksin untuk mencegah jangkitan pada dirinya.

“Hepatitis C susah sedikit sebagaimana HIV. Bagi hepatitis B, C dan HIV, cara ia merebak sama cuma cara merebak hepatitis B di rantau ini bukan disebabkan perhubungan seks. Penagih dadah biasanya terkena hepatitis B, C atau HIV.

“Dari segi pesakit HIV, undang-undang mewajibkan suami memberitahu isterinya sekiranya dia mempunyai HIV. Dalam masa 48 jam sekiranya suami tidak memberitahu isteri, pihak doktor bertanggungjawab memberitahunya.

“Tetapi dari segi hepatitis B, mereka berasa ia tidak begitu penting sebagaimana HIV walhal ia sama penting. Pada pendapat saya, doktor mesti menasihati pesakit terutama isteri sekiranya suaminya ada hepatitis B. Mereka mesti mendapatkan vaksin dan berhati-hati terhadap kemungkinan jangkitan. Kadar pembawa kuman hepatitis B di Malaysia ialah 5.4 peratus. Maksudnya setiap 100 orang, lima orang adalah pembawa kuman hepatitis B,” katanya.

Jelas Dr Chuah, cuma hepatitis B dan C yang boleh merebak melalui perhubungan seks manakala ada banyak jenis hepatitis yang tidak berjangkit.

“Perkara yang perlu dilakukan sekiranya sese­orang itu mendapat pe­nyakit hepatitis, contohnya hepatitis B, dia mesti bertemu doktor untuk mengenal pasti tahap jangkitan hepatitisnya. Dia juga mesti diperiksa sekurang-kurangnya enam bulan sekali untuk tapisan terhadap kanser hati.

“Ini kerana hepatitis B ada empat peringkat. Apabila seseorang itu pergi dari satu peringkat ke satu peringkat, imbasan perlu dibuat untuk mengenal pasti tahap kekerasan hati. Setiap hepatitis ada ubat-ubat yang khusus.

“Bagi hepatitis yang disebabkan oleh kencing tikus, pesakit diberi antibiotik untuk kencing tikus itu bukan untuk hepatitis. Saya tidak menggalakkan menggunakan ubat-ubat tradisional kerana kadang-kadang ubat-ubat itu juga boleh menyebabkan hepatitis,” katanya.

Permasalahan hati perlu dikenal pasti sama ada ia sirosis atau fibrosis. Ultrabunyi atau imbasan CT boleh mengenal pasti tahap­nya sama ada masih normal atau sirosis, tetapi keadaan fibrosis yang berada di te­ngah-tengah sukar dikesan.

“Kini di hospital Pantai, Ayer Keroh, kami mempu­nyai satu alat digelar Fibroscan yang boleh memberitahu tahap fibrosis. Mesin ini yang pertama di selatan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 5:01 AM