Mercun dan rokok yang dirampas. FOTO ihsan PPM
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM5,000 serta pelbagai jenama rokok seludup bernilai RM46,482 dalam tiga serbuan berasingan, malam tadi.

Dalam serbuan di sekitar Bandar Penawar dan Kota Tinggi di sini, tiga lelaki berusia 26 hingga 29 tahun dan penjaga kedai runcit berusia 29 tahun ditahan.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, serbuan pertama dan kedua pada 8.30 malam dan 8.45 malam itu dibuat ke atas dua kereta sebelum menjumpai pelbagai mercun di dalamnya.

"Tiga lelaki ditahan dan ia membawa kepada serbuan di lokasi ketiga di sebuah kedai runcit dan hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemui sejumlah kotak rokok seludup yang disimpan kedai berkenaan.

"Semua yang ditahan kemudian dibawa ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 12:39 PM