DR Ahmad Nizar menunjukkan sistem aliran elektrik pada jantung.
Oleh Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my


Degupan jantung kita dikawal perentak jantung semula jadi dinamakan nod sinus (SA) yang terletak pada atrium kanan di bahagian atas jantung. Nod sinus ini menghasilkan impuls elektrik yang mencetuskan setiap degupan.

Impuls elektrik dari nod sinus bergerak merentasi atrium menyebabkan otot atrium menguncup dan mengepam darah ke dalam ventrikel.

Impuls eletrik itu kemudian tiba di kelompok sel dinamakan nod atrioventrikel (AV) yang juga laluan tunggal untuk isyarat bergerak dari atrium ke ventrikel di bahagian bawah jantung.

Nod AV memperlahankan isyarat elektrik sebelum menghantarnya ke ventrikel, dan kelewatan itu membolehkan ventrikel diisi dengan darah. Otot ventrikel yang menerima impuls elektrik akan mengecut dan mengepam darah ke paru-paru dan bahagian lain tubuh.

Bagi individu dengan jantung sihat, proses berkenaan berjalan lancar dan menghasilkan kadar denyutan jantung normal antara 60 hingga 100 degupan seminit.

Perunding Pakar Kardiologi Pusat Perubatan Ara Damansara (ADMC), Dr Ahmad Nizar Jamaluddin berkata, masalah rentak degupan jantung tidak sekata (arrhythmia) sama ada berdenyut terlalu laju atau terlalu perlahan berlaku apabila impuls elektrik yang menyelaras degupan jantung tidak berfungsi dengan betul.

Rentak degupan jantung yang terlalu laju diukur apabila denyutan jantung lebih 100 degup seminit manakala rentak terlalu perlahan apabila denyutan jantung kurang 60 degup seminit. Kebanyakan gangguan rentak degupan jantung ini tidak berbahaya dan boleh berlaku kepada individu dengan jantung sihat.

Ini kerana tidak semua masalah rentak degupan jantung berpunca daripada jantung yang tidak sihat. Degupan jantung boleh menjadi terlalu laju ketika seseorang melakukan senaman dan menjadi terlalu perlahan ketika tidur atau berehat. Namun, ia juga bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana rentak degupan jantung tidak sekata boleh mengganggu kehidupan dan mengancam nyawa.

“Rentak degupan jantung tidak sekata berlaku disebabkan pelbagai faktor, selain serangan jantung seseorang juga boleh mendapat masalah degupan jantung akibat kadar garam galian atau elek­trolit dalam tubuh tidak seimbang, arteri tersumbat, perubahan otot jantung, kecederaan tisu jantung (parut) akibat serangan jantung, penuaan atau tekanan darah tinggi.

“Punca lain boleh berlaku disebabkan menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis. Malah, tekanan perasaan, pengambilan ubatan, penyalahgunaan dadah, merokok, terkena kejutan elektrik, minum terlalu banyak alkohol atau kafein juga menyumbang kepada masalah ini,” katanya.

Dr Ahmad Nizar berkata, masalah rentak degupan jantung tidak sekata kadang­kala tidak menunjukkan sebarang tanda dan memerlukan pemeriksaan doktor menerusi ujian jasmani dengan bantuan alat seperti elektrokardiogram (EKG) yang merekod aktiviti elektrik jantung.

“Begitupun, tanda rentak degupan jantung tidak sekata menyebabkan penghidapnya mengalami degupan jantung kencang, sakit dada, sesak nafas, manakala pening, pitam, pengsan dan kepenatan akibat degupan jantung terlalu perlahan.

“Masalah rentak degupan jantung boleh berlaku mendadak tetapi tidak terus-menerus, hanya seketika. Namun, jika masalah ini dialami setiap hari penghidapnya akan dipasang peranti khusus dinamakan ‘holter monitor’ untuk mengawasi rentak degupan jantung termasuk merakam aktiviti organ itu selama 24 jam.

“Alat ini biasa digunakan selepas pemeriksaan biasa menggunakan EKG tidak memberikan doktor maklumat secukupnya berkenaan masalah jantung pesakit. Maklumat diperoleh daripada holter monitor itu akan diguna untuk mendiagnosis sama ada pesakit itu mempunyai masalah rentak degupan jantung,” katanya.

Segelintir masalah rentak degupan jantung tidak sekata dicetuskan atau lebih buruk ketika senaman. Oleh itu, doktor akan mengesyorkan pesakit melakukan aktiviti senaman seperti berlari di atas mesin ‘treadmill’ atau mengayuh basikal dan pada masa sama, aktiviti jantungnya akan dipantau bagi mengikuti apa yang berlaku ketika itu.

“Doktor juga akan melakukan kajian elektrofisiologi (EPS) iaitu cara invasif untuk melihat rentak degupan jantung. EPS memeriksa aktiviti elektrik jantung bagi mengesan punca gangguan rentak itu dengan menggunakan kateter yang dimasukkan ke dalam jantung menerusi saluran darah selama kira-kira dua jam.

“Hasil daripada EPS juga membantu doktor memilih rawatan yang terbaik untuk pesakit sama ada menggunakan ubatan, perentak jantung (pacemaker) atau alat peranti lain dan pembedahan,” katanya.

Kaedah ‘radiofrequency ablation’ (RFA) adalah rawatan yang menggunakan tenaga elektrik untuk memusnahkan tisu dalam jantung yang menyebabkan gangguan rentak. Melalui RFA, kateter khas dimasukkan ke dalam jantung menerusi saluran darah yang dipandu dengan imbasan sinaran X.

Aktiviti elektrik jantung kemudian direkod dan tisu yang menyebabkan gangguan juga boleh dikenal pasti kedudukannya dan kateter RFA akan memusnahkan tisu terbabit dengan haba kerana tisu yang rosak itu tidak lagi menjana impuls elektrik yang menyebabkan gangguan rentak degupan jantung.

Sementara itu, perentak jantung adalah peranti elektrik yang dipasang dalam tubuh dan disambungkan terus ke jantung dengan wayar yang merangsang jantung untuk mengepam dengan cara biasa. Bagi segelintir pesakit, penggunaan perentak jantung adalah sebahagian prosedur tetapi ia berdasarkan nasihat doktor.

“Pelbagai ubatan juga boleh digunakan bagi merawat masalah rentak degup jantung tetapi ia tidak memberi pemulihan yang kekal, sebaliknya hanya mengawal masalah,” katanya.

Jenis-jenis aritmia

1. Atrial Fibrillation

Bahagian atas jantung iaitu atrium berdegup tidak sekata iaitu lebih laju berbanding berdegup dengan berkesan untuk membawa darah ke ventrikel. Masalah ini boleh menyebabkan saluran darah tersumbat, strok, kegagalan jantung dan komplikasi lain berkaitan jantung.

2. Bradycardia

Degupan jantung perlahan iaitu kurang 60 degupan seminit bagi orang dewasa. Namun, kadar degupan jantung yang perlahan bergantung pada usia dan tahap kecergasan kerana bagi orang tertentu, ia tidak mendatangkan masalah.

Rentak jantung perlahan disebabkan nod sinus bermasalah, impuls elektrik tidak dialirkan dari atrium ke ventrikel, masalah metabolik seperti hypothyroidism dan kerosakan pada jantung disebabkan sakit jantung.

3. Conduction Disorders

Pengaliran elektrik jantung terganggu apabila ada penyumbatan pada ventrikel kiri atau kanan bahagian bawah jantung, yang menyebabkan impuls elektrik melencong sekali gus memperlahankan aliran.

Impuls elektrik mengalir ke kedua-dua ventrikel dengan kelajuan sama dan menguncup juga pada waktu sama. Gangguan pengaliran ini menyebabkan satu daripadanya menguncup lebih perlahan.

4. Premature Contraction

Penguncupan pramatang daripada atrium (PAC) atau daripada ventrikel (PVC) menyebabkan jantung berdegup awal dan melangkau kadar biasa. Pesakit akan mengalami tanda seperti berdebar-debar, yang biasa dialami remaja dan kanak-kanak.

5. Tachycardia

Degupan jantung laju iaitu lebih 100 degupan seminit bagi orang dewasa disebabkan gangguan isyarat elektrik pada bahagian atas jantung yang datang daripada nod sinus. Siri degupan awal pada atrium meningkatkan kadar kelajuan rentak dan menyebabkan darah tidak dapat memenuhi ventrikel sebelum menguncup dan menjejaskan aliran darah ke tubuh.

6.Ventricular Fibrillation

Ventrikel di bahagian bawah jantung berdegup tidak sekata, iaitu lebih laju dan masalah ini boleh mengancam nyawa kerana jantung tidak dapat mengepam darah seterusnya mengakibatkan penghidapnya pitam dan diikuti serangan jantung.

7. Adam Stokes Disease

Gangguan pada aliran degupan jantung bahagian atas ke bahagian bawah menyebabkan jantung tersumbat. Apabila tersumbat, degupan jantung menjadi perlahan dan menjejaskan aliran darah ke otak. Pesakit boleh pengsan dan mendapat sawan.

8. Atrial Flutter

Isyarat elektrik yang cepat menyebabkan otot atrium mengecut dengan pantas dan mengakibatkan degupan jantung menjadi deras.

9. Sick Sinus Syndrome

Nod sinus tidak melancarkan isyarat elektrik dengan sempurna, menyebabkan kadar degupan jantung jadi perlahan. Kadar degupan jantung juga kadangkala bertukar daripada perlahan menjadi laju.

10. Sinus Arrhytmia

Kitaran pertukaran kadar degupan jantung ketika bernafas dan biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

11. Wolf-Parkinson-White Syndrome

Laluan tidak normal di antara atrium dan ventrikel menyebabkan isyarat elektrik tiba di ventrikel terlalu awal dan berbalik ke atrium. Kadar degupan jantung yang terlalu deras, menyebabkan isyarat elek­trik melantun di antara atrium dan ventrikel. Pesakit dengan sindrom ini tidak menunjukkan sebarang tanda tetapi berisiko tinggi mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:56 AM