OTHMAN merasmikan Pesta Mempelam.
PEKERJA MADA membungkus mempelam.
ORANG ramai mengambil peluang membeli mempelam.
Oleh Mohamad Hussin
mohamad_hussin@hmetro.com.my


Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menganjurkan Majlis Pelancaran Pesta Mempelam Chokanan MADA 2015 di Ladang Mempelam Tobiar, Kedah, baru-baru ini.

Ia antara usaha MADA dalam sektor agromakanan negara, khususnya bagi meningkatkan sumber agromakanan dan pendapatan peladang MADA melalui program Industri Asas Tani (IAT) dan Bukan Padi MADA iaitu tanaman mempelam.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi MADA, Datuk Othman Aziz. Hadir sama, Pengurus Besar MADA, Md Zuki Ismail, Timbalan Pengurus Besar (Pertanian) MADA, Fouzi Ali dan Timbalan Pengurus Besar (Teknikal) MADA, Hor Tek Lip.

Othman dalam ucapannya berkata, kewujudan Ladang Mempelam Tobiar MADA ini berperanan penting dalam menjayakan agenda tranformasi pertanian di Kawasan Muda khususnya dan Negeri Kedah umumnya.

Beliau berkata, bermula dengan pembangunan infrastruktur pada 2001 dan penanaman bermula pada 2002 di atas tanah seluas 42 hektar yang dulunya padang ragut Jabatan Perkhidmatan Veterinar, ladang ini sudah ditanam 18,000 pokok mempelam klon MA 224 atau lebih dikenali sebagai Chokanan.

“Ladang Mempelam Tobiar ini memainkan peranan besar yang berfungsi sebagai pusat pengeluaran buah mempelam segar, pusat pengeluaran puri mempelam untuk kegunaan produk industri asas tani berasaskan mempelam.

“Pusat pengumpulan buah segar dari ladang dan peladang di seluruh Kawasan Muda, pusat teknologi mempelam, pusat latihan amali mempelam, pusat pengeluaran benih mempelam dan destinasi agropelancongan MADA.

“Secara mudahnya, Ladang Mempelam Tobiar ini berperanan membimbing dan menggembleng peladang untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui tanaman mempelam,” katanya.

Menurutnya, permulaan hasil pada 2005 sebanyak 25 tan sementara pada 2006 menghasilkan 55 tan. Hasil tertinggi dicapai pada 2007 sebanyak 80 tan.

“Tahun 2014 sebanyak 40 tan dengan nilai jualan RM200,000 sementara pada tahun ini dijangkakan hasilnya antara 80 hingga 100 tan yang boleh menghasilkan RM400,000 hingga RM500,000.

“Di seluruh Kawasan Muda, MADA mempunyai kira-kira 300 peladang yang mengusahakan tanaman mempelam dengan jumlah keluasan 250 hektar dan mampu menghasilkan 60 tan mempelam pada 2014 bernilai RM240,000. Tahun ini pula hasilnya dijangka boleh mencapai 70 tan dengan nilai RM300,000,” katanya.

Othman berkata, sempena musim tuaian mempelam di Ladang Mempelam Tobiar pada tahun ini, MADA menganjurkan Pesta Mempelam Chokanan MADA 2015.

“Ia bagi mempromosikan Chokanan sebagai mempelam komersial yang bernilai tinggi di Kedah dan boleh diketengahkan setanding Harumanis di Perlis.

“Tanaman mempelam amat berdaya maju dan mampu memberi pulangan lumayan kepada peladang di Kawasan Muda.

“Peranan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) perlu dipertingkatkan bagi memastikan mempelam, terutama klon Chokanan dapat diusahakan secara komersial dengan penghasilan buah berkualiti tinggi.

“Ia juga berupaya dipasarkan sebagai produk bernilai tinggi dan berkualiti eksport,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mencadangkan supaya agensi terbabit menggiatkan lagi usaha ke arah menjadikan mempelam sebagai tanaman komersial terpenting di Kedah yang boleh dijenamakan sebagai produk hasilan negeri berkenaan.

“Tahniah kepada semua peladang mempelam MADA yang berjaya membuktikan mempelam mempunyai nilai komersial tinggi yang boleh membantu meningkatkan pendapatan peladang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 10:48 AM