PEMILIHAN warna sofa yang lembut bersesuaian dengan kertas dinding menambah keceriaan di ruang tamu.
WARNA putih dan padanan bunga petunia elemen utama dalam penataan kediaman gaya Inggeris.
HIASAN pelbagai warna bunga orkid plastik turut menambah kecerian pada kediaman ini.
LALUAN ke dapur turut dihias cantik dengan koleksi barangan hiasan.
PERABOT buluh di bahagian luar rumah turut dicat warna putih.
Oleh Samadi Ahmad
rencana@hmetro.com.my


Hiasan dalaman bermotifkan gaya Inggeris dan moden yang banyak diaplikasikan di kediaman pasangan suami isteri di Taman Kelasi, Jalan Kuala Kedah, Kedah ini menawarkan keunikan tersendiri.

Pasangan itu amat gemar suasana harmoni dan klasik dengan bunga ros merah jambu sebagai elemen utama.

Suasana itu menjadi pilihan Tengku Zahri Tengku Mahmood, 53, dan pasangannya, Noor Aziah Zainul Abidin, 52, yang meminati konsep sama serta ketenangan.

Ketika penulis menjejakkan kaki di pekarangan rumah berkembar dua tingkat berwarna putih itu, terbayang aura mewah dan klasik dengan susun atur serta rekaan perabotnya menghidupkan konsep Inggeris klasik.

Sejuk mata memandang ketika melangkah ke ruang tamu, padanan perabot dan kertas dinding berwarna senada menaikkan seri serta aura kediaman yang berkeluasan sederhana itu.

Setiap perabot seperti sofa, meja kopi, meja makan dan rak pinggan mangkuk juga mempunyai ukiran halus bermotifkan bunga-bungaan yang dipadankan dengan kemasan kabinet kayu putih serta krim menyerlahkan aksesori dipamerkan.

Dari kertas dinding, meja, almari, perhiasan lampu meja, pinggan mangkuk, kipas angin dan barangan dapur semuanya menitikberatkan corak bunga, warna krim dan putih bagi menjalin kesinambungan secara harmoni.

Ruang rumah turut menempatkan rak kayu dengan hiasan kaca dan pasu besar diisi beberapa bunga orkid dan peralatan pinggan mangkuk gaya Bohemian.

Di sudut rumah itu terdapat bilik rehat bersebelahan ruang makan. Di situ terdapat sofa, pendingin hawa, televisyen, sebuah meja kopi serta lampu ringkas yang menggambarkan diri korporat dan kerjaya pemiliknya.

Sementara itu, terdapat dua bahagian dapur basah dan kering yang dihiasi barangan pinggan mangkuk atau set teko selain cawan porselin baru di dapurnya.

Selain menggantungkan bingkai gambar, para kayu pada dinding dijadikan tempat meletak gubahan ringkas termasuk tangga ke tingkat atas turut diletakkan kertas dinding putih.

Mengenai konsep diketengahkan, Noor Aziah berkata, ketika mengubah suai rumah itu tiga tahun lalu, mereka sepakat mengetengahkan konsep Inggeris klasik kerana warna putih lambang kebersihan, kelembutan dan merehatkan jiwa.

Katanya, sebahagian barangan dibeli dari luar negara seperti Eropah, Jepun, Singapura dan Timur Tengah.

“Segala tatarias kediaman itu hasil perbincangan dan minat serupa yang dikongsinya bersama, justeru kami tidak perlu menggunakan khidmat pereka hiasan dalaman.

“Kami tidak kisah untuk berhabis wang membeli perabot kerana kepuasan diperoleh apabila melihat sususannya yang sempurna di rumah tidak dapat digambarkan dengan kata-kata,” kata Noor Aziah.

Tengku Zahri berkata, lelaki turut mempunyai minat menata hias kediaman berkonsepkan Inggeris kerana ia sentiasa hangat sepanjang masa malah dia seorang yang berjiwa lembut serta sukakan ketenangan.

“Saya gemar menghias rumah dan hiasannya mestilah sesuatu yang unik malah sentiasa mengubah susun letak hiasan kediaman ini mengikut aliran semasa.

“Ada pelbagai cara memiliki kediaman bertemakan Inggeris termasuk menggunakan barang lama dan catkan warna putih,” katanya yang mesra dipanggil Pak Ungku.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2015 @ 5:06 AM