Depok (Indonesia): Akibat tidak tahan dimarah, seorang remaja bertindak kejam apabila mencekik seorang wanita yang juga majikannya sehingga mati, kelmarin.

Noviasari, 30, ditemui tidak bernyawa oleh suaminya dengan kesan lebam di leher di kedai milik mangsa di Jalan Raya Nanggeran di sini.

Ketua polis Depok, Dwiyono berkata, hasil siasatan polis menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang juga pekerja mangsa.

“Suspek mengaku menyerang sebelum mencekik majikannya sehingga mati.

“Motif serangan itu dipercayai akibat dendam selepas suspek berang kerana sering dimarahi wanita itu,” katanya.

Ujarnya, polis mengumpul beberapa bahan bukti termasuk pakaian dan kuku mangsa yang mempunyai kesan darah.

“Selepas semua bukti dan keterangan mencukupi, kami akan mendakwa remaja itu,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 7:02 AM