Sydney: Kerajaan Indonesia memberitahu Australia bahawa kebanyakan pendatang yang terkandas di perairan di rantau Asia Tenggara itu buruh haram dari Bangladesh dan bukannya pelarian Rohingya yang ditindas, kata Menteri Luar Australia, Julie Bishop semalam.

Julie memberitahu akhbar The Weekend, Indonesia menganggarkan 30 hingga 40 peratus mangsa yang terkandas di laut adalah etnik Rohingya, minoriti Islam yang miskin dari Rakhine, barat Myanmar.

“Indonesia percaya daripada 7,000 pendatang yang terkandas di laut 30 hingga 40 peratus saja Rohingya dan selebihnya warga Bangladesh.

“Mereka bukan pelarian yang mencari suaka politik, tetapi buruh haram yang ingin mencari pekerjaan di Malaysia,” katanya.

Indonesia percaya ada pelarian Rohingya sudah pergi ke Bangladesh dan bercampur dengan warga negara itu yang mahu datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:08 AM