PENDUDUK Aceh membantu mengangkat seorang pendatang wanita yang diselamatkan.
PENDATANG etnik Rohingya menunggu di bot mereka untuk diselamatkan oleh nelayan Aceh, awal semalam.
AFP

Banda Aceh: Seramai 433 pendatang etnik Rohingya dari Myanmar yang kelaparan diselamatkan di luar pantai Aceh, Indonesia semalam.

“Mereka terlalu lemah. Ramai yang sakit. Mereka menmberitahu, ada rakan mereka mati kebuluran,” kata Teuku Nyak Idrus, nelayan Aceh yang terbabit dalam usaha menyelamat itu.

Menurut pegawai, mereka yang diselamatkan itu, termasuk 30 kanak-kanak dan 26 wanita.

AFP melaporkan, kapal pendatang yang diselamatkan itu adalah yang hilang lebih tiga hari lalu selepas dikesan di luar pantai Thailand.

Pihak berkuasa Thai enggan membenarkan bot berkenaan memasuki perairan negara itu atas alasan ia dalam pelayaran menuju ke Malaysia.

Kebimbangan mengenai nasib penumpang itu meningkat selepas hubungan komunikasi dengannya terputus lewat Sabtu lalu sehinggalah ia diselamatkan nelayan Aceh awal semalam.

Wartawan AFP yang menaiki bot berkenaan mengesahkan ia kapal yang hilang itu.

Chris Lewa dari Projek Arakan yang mengawasi pelayaran pendatang merentasi Teluk Benggala berkata, wakilnya di Aceh juga mengesahkan ia bot yang hilang sejak beberapa hari lalu.

Hampir 3,000 pelarian tiba di pantai Malaysia, Indonesia dan Thailand sejak 10 hari lalu, dengan berenang atau diselamatkan selepas laluan penyeludupan yang sekian lama wujud dimusnahkan pihak berkuasa Thai, mendorong kumpulan yang bertanggungjawab membiarkan kapal membawa pendatang itu terdampar di laut.

Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata kelmarin, ia menerima laporan sekurang-kurangnya 2,000 pendatang masih terkandas dalam bot di laut selama beberapa minggu di pantai Myanmar-Banglandesh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 9:40 AM