SEORANG kanak-kanak Rohingya tiba dengan bot baru-baru ini dirakam gambarnya untuk tujuan pengenalan di pusat perlindungan sementara di Kuala Langsa, Aceh, semalam.

Langsa (Indonesia): Kapal tentera laut Indonesia kelmarin memintas dan menghalang sebuah bot yang dipercayai membawa pendatang asing daripada memasuki perairan negara itu.

Tentera laut Indonesia juga meningkatkan kawalan di perairan negara itu selepas beberapa bot yang membawa beratus-ratus pelarian Rohingya dari Myanmar dan Bangladesh diselamatkan di Aceh.

Hampir 3,000 pendatang asing berenang ke pantai atau diselamatkan selepas bot dinaiki mereka hanyut ke perairan Indonesia, Malaysia dan Thailand sejak beberapa minggu lalu.

Ketiga-tiga negara itu dikritik selepas menghalang bot yang penuh dengan pendatang berkenaan masuk ke wilayah mereka dengan beribu-ribu pelarian lagi masih terkandas di lautan.

Jurucakap tentera Indonesia, Fuad Basya berkata, tentera laut negara itu menghalang sebuah bot daripada memasuki wilayah Indonesia melalui Selat Melaka.

“Selepas berhubung melalui radio kapal itu berpatah balik. Kami tidak menggunakan sebarang kekerasan,” katanya.

Ujarnya, beliau percaya bot itu membawa pendatang tetapi tidak diketahui jumlah mereka,

“Bot itu datang dari arah Malaysia menghala ke wilayah Indonesia.

“Bot itu telah dipintas dan dihalang masuk ke wilayah Indonesia,” ujarnya.

Tentera Indonesia sebelum ini menegaskan, mereka hanya akan membantu bot yang berada dalam keadaan kecemasan sahaja. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 12:25 PM