SEBAHAGIAN wanita dan kanak-kanak dari etnik Rohingya yang diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka terkandas di Aceh.

Banda Aceh: Pihak berkuasa Indonesia, semalam menyelamatkan seramai 469 pendatang Rohingya dari Myanmar dan warga Bangladesh selepas bot yang dinaiki mereka terkandas di pantai Aceh.

“Kami menerima laporan daripada nelayan terdapat sebuah bot kayu terkandas di kawasan perairan di utara Aceh,” kata ketua agensi mencari dan menyelamat Aceh, Budiawan.

Katanya, pasukan menyelamat berjaya menyelamatkan seramai 469 pendatang dari Myanmar dan Bangladesh.

“Sebilangan daripada penumpang itu terdiri daripada wanita dan kanak-kanak dan semua mereka berjaya diselamatkan,” tambahnya.

Ujarnya, semua pendatang itu ditempatkan di sebuah pusat tahanan sebelum disoal siasat oleh pihak imigresen dan polis.

Seorang pegawai agensi pengurusan bencana Aceh, Darsa berkata, bot yang membawa pendatang itu tiba di Aceh pada awal pagi semalam dan diarahkan berenang ke pantai.

“Seorang pendatang yang boleh berbahasa Melayu memberitahu saya bahawa ejen mereka memberitahu bot itu sudah sampai ke Malaysia dan mengarahkan mereka berenang ke pantai.

“Sebahagian penumpang berenang ke pantai tetapi menyedari mereka ditipu selepas nelayan memberitahu mereka berada di Indonesia,” jelasnya.

Menurutnya, pendatang itu memberitahu, lima bot berlepas dari Myanmar pada minggu lalu menuju ke Malaysia.

“Etnik Rohingya ini mahu melarikan diri dari negara asal mereka kerana mahu melarikan diri daripada konflik perkauman di negara itu,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:17 AM