AFIQ (kiri) pada sesi latihan pasukan Selangor.
Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas rekod tanpa kalah tujuh perlawanan liga lebur serta status sebagai pendahulu dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM), penyerang Selangor, Muhammad Afiq Azmi percaya semangat mereka tidak tergugat untuk terus mencabar kejuaraan musim ini.

Selangor tidak boleh terus meratapi kekecewaan tewas 1-2 di tangan Kelantan minggu lalu kerana mereka perlu mempersiapkan diri berdepan satu lagi pasukan hebat, Perak pada pertembungan di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Menurut Afiq, 26, mereka kekal fokus mengharungi kempen liga biarpun mengakui sedikit tersentak dengan kekalahan di Kota Bharu yang menyaksikan skuad kendalian Mehmett Durakovic jatuh ke tangga kedua.

“Memang kecewa kerana kami gagal mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata ketika menentang Kelantan. Tapi, saya percaya kekalahan itu tidak menjejaskan moral pasukan untuk menewaskan Perak selepas ini,” katanya.

Walaupun yakin turun beraksi di laman sendiri, penyerang tinggi lampai yang kini mengumpul tujuh gol liga tetap waspada dengan kemampuan Perak apatah lagi pasukan lawan itu masih segar dengan kejayaan menundukkan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (Johor DT) 2-1 di Ipoh.

“Bagi saya Perak memiliki ramai pemain muda yang bagus dan kami kena berusaha keras untuk menang Sabtu ini. Saya harap kami boleh memanfaatkan aksi di depan penyokong sendiri kerana tidak boleh terus keciciran mata,” jelas Afiq.

Afiq kini dilapor mendapat perhatian jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh bagi persiapan kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 pada Jun, namun pemain kelahiran Kangar, Perlis itu tidak mahu terlalu memikirkan mengenai peluang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2015 @ 9:46 AM