JUAN (kanan) dan Gary (kiri) pada pelancaran Harley-Davidson Street 750.
Oleh Erywan Norshal
erywan@hmetro.com.my


Petaling Jaya: Naza Prestige Bikes Sdn Bhd, pengedar tunggal sah motosikal Harley-Davidson di Malaysia menyasarkan peningkatan sehingga 20 peratus jualan produknya pada tahun ini bersandarkan kepada pengenalan motosikal terbaru, Harley-Davidson Street 750.

Naib Presiden Bersekutu Bahagian Two Wheels, Juan Chow Wee berkata, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan jualan sehingga 470 unit dengan 25 peratus disumbangkan oleh model terbaru ini.

“Motosikal ini dipasang di kilang Harley-Davidson di India dan dijual pada harga paling rendah berbanding model lain.

“Jentera premium jenama Amerika Syarikat ini juga sesuai bagi peringkat permulaan yang mahu berkecimpung dalam dunia permotoran,” katanya selepas majlis pelancaran Harley-Davidson Street 750, semalam.

Hadir sama, Ketua Syarikat Harley-Davidson Kuala Lumpur, Gary Sharman.

Sementara itu, Juan berkata, pihaknya juga menyediakan kemudahan kepada bakal pemilik untuk melakukan pembinaan khas kepada motosikal berkenaan.

Menurutnya, harga pembinaan khas itu bergantung kepada komponen atau aksesori berdasarkan permintaan pelanggan.

Harley-Davidson Street 750 menggunakan enjin V berkembar Revolution X bersesaran 749 cc yang menghasilkan kuasa maksimum sehingga 54 kuasa kuda (hp). Motosikal dengan berat kering 206 kilogram itu ditawarkan dengan tiga pilihan warna iaitu Vivid Black, Black Denim dan Fire Red.

Ia dijual pada harga atas jalan termasuk insurans serta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada RM62,888 selain ditawarkan dengan dua tahun jaminan kilang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 8:12 AM