HARIS Rashid bersedia memahat namanya setanding pelukis muda yang lain.
NUKILAN artis menerusi Forgotten Glory II.
KARYA berjudul Deer.
KARYA Peacock and the Moon.
Oleh Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my


Nama Haris Rashid mungkin masih dianggap baru dalam arena seni kontemporari negara. Namun jejaka dari Alor Setar, Kedah ini memungut pengalaman daripada pameran berkumpulan menerusi ‘START’ pada 2013 dan Rantai, Pesta Rabak dan ‘Untamed Bloom’ tahun lalu.

Haris tidak perlu mengambil masa lama melonjakkan diri setara dengan barisan pelukis muda negara apabila berpeluang mempamerkan bakat melalui pameran solo yang kini berlangsung di Galeri Artemis Art.

Pameran solo ‘Beauty in the Beast’ mengungkap keindahan fauna dari kaca mata Haris.

Secara realiti masyarakat menganggap hidupan liar berbahaya, tetapi bagi Haris haiwan itu adalah inti pati alam semula jadi.

“Sejak kecil saya gemar melukis imej hidupan liar hasil pemerhatian pada alam sekitar dan dokumentari haiwan berkenaan. Kebanyakan haiwan kelihatan cantik dan hidup dalam harmoni, tetapi ia berhadapan dengan bahaya akibat kerakusan manusia.

“Harimau, kucing hutan dan beruang madu antara haiwan liar dan ganas, namun sering diburu kerana kepercayaan kolot manusia yang menganggap organ haiwan liar ini mampu me–nyembuhkan penyakit,” katanya.

Bagi mendekatkan tema haiwan liar dengan manusia, Haris merancakkan lukisan terbabit dengan menyelitkan lakaran flora, alam sekitar selain mengambil inspirasi Timur Tengah, China dan etnik tinggalan sejarah.

Selain 20 karya berbentuk lukisan, Haris turut menghasilkan tiga arca yang menyentuh dunia alam semula jadi.

Bekas penuntut The One Academy of Communication Design itu menggunakan medium akrilik, cat minyak, cat air dan pensil di atas kertas, kanvas serta kayu.

Pameran ini berlangsung sehingga 12 April ini dan masuk adalah percuma.

INFO

BEAUTY in the BEAST

- Artis: Haris Rashid

- Jumlah karya: 20 (lukisan) 3 (arca)

- Lokasi: Galeri Artemis Art, Lot 21 & 22, Level G4 Publika, Blok C5 Solaris Dutamas, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 12 April 2015

- Masa: 11 pagi hingga 7 malam

- Telefon: 03 - 6211 1891

- Web: www.artemisartgallery.com

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 April 2015 @ 12:47 PM