TAMPIL manis selepas wajah disolek.
1. SELEPAS wajah disapu rata dengan bedak asas dan penyamar roda, oleskan bedak tabur untuk memastikan solekan tahan lama.
2. SERIKAN wajah dengan sapuan pemerah pipi.
3. KOMBINASI sapuan pembayang mata rona coklat dan merah jambu menambah seri pada wajah.
4. TONJOLKAN mata galak dengan pemakaian celak pada garisan atas dan bawah mata.
5. GUNAKAN penyamar noda untuk membentuk kening tanpa mencabut bulu kening.
6. KEMUDIAN, bentukkan kening menggunakan celak rona coklat.
7. SAPUAN pengilat wajah pada bahagian tulang pipi menjadikan solekan tampak bercahaya.
8. OLES rata penggaris bibir rona semula jadi.
9. PILIH gincu rona sesuai dengan persalinan.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my


Lokasi dan tema majlis resepsi mempengaruhi solekan ratu sehari. Ini penting bagi memastikan solekan tampak sesuai dan senada dengan tema yang diinginkan pada hari bersejarah setiap pengantin.

Solekan yang tidak kena pada wajah akibat padanan mekap kurang sesuai membuatkan penampilan muka tampak pelik dan kurang menarik sekali gus mencacatkan gaya ratu sehari di atas pelamin.

Menurut jurusolek butik pengantin, Farrah Rizs Bridal Farrah Lina Ramlan, sebelum wajah disolek lokasi majlis sama ada di kawasan bertutup atau terbuka perlu diambil kira.

“Jika majlis diadakan dalam bangunan atau tempat tertutup dan faktor pencahayaan yang mencukupi, tidak kisah jika pengantin mengenakan solekan yang agak tebal.

“Solekan tebal juga boleh digunakan jika majlis berlangsung pada waktu malam berbanding siang. Namun, jika majlis diadakan di kawasan terbuka, solekan semula jadi dan lebih ringan lebih sesuai,” katanya.

Ujarnya, cara mekap untuk majlis resepsi dan pernikahan adalah sama cuma pemakaian dan pemilihan alat solek lebih tebal, terang dan menonjol.

Namun, itu semua bergantung kepada permintaan pengantin kerana ada yang sukakan solekan sederhana dan tampak semula jadi serta tidak kurang juga mahukan mekap tebal.

Solekan di majlis pernikahan biasanya lebih ringan berbanding waktu bersanding dan disebabkan itu mekap di bahagian mata akan ditampilkan lebih menarik.

“Kebiasaannya, sebelum wajah disolek, seluruh kulit wajah pengantin akan disapu rata dengan ais bagi membantu mengecilkan liang pori, menegangkan kulit, memastikan mekap tahan lama dan memberikan kesan segar pada muka.

“Sapuan ais akan diratakan lebih lama di bahagian mata bagi mengurangkan kesan gelap bawah mata selain membantu menjadikan kawasan sembap itu tampil segar dan bersinar.

“Selepas wajah disapu dengan ais, pelembap dan primer akan digunakan. Kedua-dua alat solekan berkenaan mempunyai fungsi yang sama dengan ais iaitu membantu memastikan

solekan kekal lama,” katanya.

Bagi individu yang mempunyai kesan jerawat yang jelas pada wajah, bedak asas jenis batang (stick foundation) lebih sesuai kerana ia bersifat lebih tebal untuk menutup cela di muka.

Selepas menyapu rata wajah dengan bedak asas, bedak kompak dan bedak tabur, beri perhatian pada bahagian mata. Untuk menampilkan solekan yang senada dengan warna persalinan pengantin, lebih selamat gunakan pembayang mata rona bumi seperti coklat dan tambah seri dengan ton merah jambu.

Selain mata, gincu juga memainkan peranan penting untuk menonjolkan penampilan anggun dan sempurna di hadapan tetamu tatkala meraikan hari istimewa merpati dua sejoli.

“Elak daripada menggunakan gincu rona terang jika kita memiliki barisan gigi yang tidak rata atau jongang untuk menutup kekurangan.

“Sebaliknya, pilih rona lebih semula jadi atau lembut untuk menampilkan wajah sempurna. Selain itu, solekan menaikkan tulang pipi dan memancungkan hidung menerusi teknik pembayang (shading) perlu dilakukan bagi memastikan wajah tampak terletak,” katanya.

Farrah Lina yang mula menerima tempahan solekan sejak 2010 turut menasihatkan setiap bakal pengantin supaya mengenakan mekap sesuai dengan warna persalinan untuk mengelakkan penampilan tampak pelik.

Kebiasaannya, bagi menampilkan solekan yang senada dengan warna pakaian, bahagian mata dan bibir sangat penting dengan memilih gincu serta pembayang mata rona sesuai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2015 @ 12:45 PM