IKAN tilapia segar diperoleh menerusi sistem akuaponik.
BAHAGIAN penapis untuk mengitar semula air.
SAYUR segar secara organik dengan sistem akuaponik.
IKAN yang diternak dalam kanvas atau akuarium.
MOHD Johaary bersama hadiah kemenangan.
Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


Sejak isu harga barangan meningkat, ramai yang membangunkan produk pertanian bandar kerana menjimatkan kos barangan dapur dan mengindahkan persekitaran.

Pelbagai produk inovasi berkaitan pertanian bandar dibangunkan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) antaranya MARDI.

Terbaru, Pegawai Penyelidik Kanan Bahagian Perancangan Strategik dan Pengurusan Inovasi, MARDI, Mohd Johaary Abdul Hamid, memperkenalkan Urbankit.

Teknologi baru untuk pertanian bandar itu membantu pengguna mendapatkan sumber makanan di kediaman terhad.

Ia menggabungkan kepakaran beberapa penyelidik daripada pelbagai disiplin seperti sains tanah, bioteknologi, mekanisasi, ternakan, unit bisnes dan hortikultur.

Teknologi yang dibangunkan itu mendapat pengiktirafan Harta Intelek daripada Perbadanan Hak Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan World Intellectual Property Organisation (WIPO) bagi kategori reka bentuk industri.

Nama Urbankit juga didaftarkan cap dagang bagi teknologi berkonsepkan akuaponik.

Mohd Johaary berkata, Urbankit dibangunkan sebagai teknologi alternatif untuk pertanian bandar.

“Sistem ini direka khusus bagi memberi peluang penduduk bandar mengurangkan belanja dapur.

“Kit ini sesuai untuk penanaman herba, sayur-sayuran hijau serta ternakan ikan air tawar,” katanya.

Katanya, pelbagai spesies sayuran berkualiti tinggi dan herba boleh ditanam menggunakan sistem ini seperti salad, bayam, kangkung, selom dan pudina.

“Bahagian tangki ikan boleh menempatkan ikan tilapia merah dan hitam serta keli,” katanya.

Sistem integrasi dibangunkan katanya menghasilkan nutrien diperlukan sayur dan ikan.

“Sisa kumuhan ikan dan lebihan makanan di dalam tangki ikan mengandungi ammonia dan sisa toksik akan dipam memasuki penapis bio.

“Penapis bio berfungsi menghasilkan bakteria baik iaitu ‘Nitrosomanas’ untuk mengurai ammonia menjadi nitrit,” katanya nitrit yang dihasilkan akan diurai pula oleh bakteria ‘Nitrobacter’ menjadi nitrat.

Menurutnya, akar tumbuhan akan menyerap nitrat untuk tujuan pembesaran dan menghasilkan nutrien yang baik untuk ikan.

Proses aliran air ini akan berulang-ulang sekali gus menjadikan tanaman serta ikan dihasilkan segar.

“Urbankit ini tidak memerlukan baja kimia atau racun untuk mengawal tumbuhan,” katanya.

Sistem akuaponik digunakan di kebanyakan negara maju di rumah kaca manakala negara membangun manakala Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) membangunkan di Palestin.

“Bagaimanapun sistem akuaponik di Malaysia mahal dan memerlukan penyelenggaraan tinggi selain mengambil masa dan memerlukan ramai tenaga buruh,” katanya.

Urbankit lebih murah kosnya kira-kira RM900 seunit berbanding produk lain yang menjangkau sehingga tiga kali ganda.

Ia juga kurang penyelenggaraan selain ringan, anti karat dan mudah alih.

“Kegunaan boleh di kawasan perumahan, flat, kondominium, apartment, town house dan kawasan rumah bersaiz kecil.

“Ia sesuai untuk komuniti bandar, rumah kebajikan dan sekolah sebagai hobi masa lapang,” katanya.

Dengan menggunakan pam satu kuasa kuda, inovasi ini dapat membantu penduduk bandar bertani pada kediaman terhad.

“Saya uji cuba teknologi ini selama enam bulan tanpa membuang air dengan memperoleh ikan untuk sekali tuaian serta lima kali tuaian sayuran.

“Bagi yang mahu menukar air, tinggalkan baki 30 peratus air sebelum ditambah air baru,” katanya.

Teknologi Urbankit ini mempunyai potensi besar dikomersialkan di peringkat global kerana keunikannya tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 10:28 AM