Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my

Sungai Siput: Lelaki berusia 28 tahun maut akibat terkena empat das tembakan di depan rumahnya di Taman Tun Sambanthan, Sungai Siput 12.30 tengah malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Suren maut di tempat kejadian akibat terkena tembakan di kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada bapa mangsa yang mendakwa mangsa ditembak sebaik keluar daripada kereta setibanya di rumah mereka.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang juga seorang penggangur pulang menaiki kereta berseorangan dan sebaik mahu masuk ke dalam rumah dia ditembak sebelum rebah di bahagian tempat letak kereta.

“Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui lima kelongsong peluru dan dua peluru. Pemeriksaan ke atas mangsa pula terdapat empat kesan tembakan iaitu masing-masing satu di lengan kiri, bahu kanan, pipi kiri dan belakang kepala," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Wan Jamil berkata, pemeriksaan lanjut mendapati dompet mangsa dan dua telefon bimbit tidak diusik.

“Mayat mangsa dihantar ke HRPB (Hospital Raja Permaisuri Bainun) untuk bedah siasat dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 10:31 AM