Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi, hari ini, menetapkan 2 April, untuk menyampaikan keputusan terhadap permohonan Lembaga Peperiksaan Malaysia dan kerajaan untuk membatalkan saman yang difailkan murid lelaki disleksia berkaitan kebocoran kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Hakim Datuk Rosnaini Saub menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas mendengar hujah Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan dan Zureen Elina Mohd Dom, yang mewakili kerajaan dan Lembaga Peperiksaan, serta peguam V Rajadevan yang mewakili pelajar terbabit.

Pada 19 November tahun lalu, Lembaga Peperiksaan dan kerajaan yang dinamakan sebagai defendan, memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman oleh K Mangala Bhavani, ibu kepada Ananda Krishnan Menon, 13, selaku plaintif, atas alasan saman itu tidak menyatakan sebab yang munasabah berhubung tindakan saman itu selain untuk memalukan dan memprejudiskan defendan serta menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 13 Oktober tahun lalu, ibu murid terbabit memfailkan saman bagi pihak anak lelakinya dengan mendakwa defendan cuai semasa mengendalikan peperiksaan UPSR tahun lalu, menyebabkan anak lelakinya terpaksa menduduki semula beberapa kertas peperiksaan.

Dalam pernyataan tuntutan, murid Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 itu mendakwa defendan gagal melaksanakan sistem keselamatan sehingga menyebabkan kertas-kertas soalan dibocorkan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Februari 2015 @ 9:15 PM