JOE Flizzow dan SonaOne juara AJL 29.
DAYANG Nurfaizah mempersembahkan Di Pintu Syurga.
CALIPH Buskers mendendangkan Romancinta.
Oleh Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Tayangan Anugerah Juara Lagu ke-29 (AJL29) yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil Ahad lalu meraih lebih enam juta penonton menerusi saluran TV3.

Lebih membanggakan apabila acara hiburan paling berprestij di Malaysia itu mendominasi hampir 60 peratus penonton sepanjang bersiaran selama tiga jam.

Bukan saja di kaca televisyen, acara tahunan itu turut dipancarkan menerusi laman web AJL29 dan penonton disajikan dengan majlis penganugerahan serta acara Karpet Merah Jambu yang boleh disaksikan di seluruh dunia.

Siaran langsung acara Karpet Merah Jambu menerusi program Hip TV di TV9 turut mendapat jumlah tontonan tinggi iaitu satu juta penonton.

Berdasarkan statistik, penyiaran acara itu di laman web rasmi serta portal Tonton mencatatkan peningkatan 18 peratus dengan jumlah keseluruhan 128,308 penonton.

Dari jumlah itu, 54,345 penonton dari Malaysia diikuti Singapura (9,282), Brunei (2,888) dan United Kingdom (2,766).

Sementara itu, jumlah 'catch-up' di Tonton mencapai 166,124 tontonan dan dijangka meningkat setiap hari.

Menerusi laman web Tonton, klip video yang mendapat sambutan tertinggi adalah lagu Romancinta dendangan kumpulan Mojo bersama Caliph Buskers diikuti persembahan Hazama (Malaikat) dan Dayang Nurfaizah (Di Pintu Syurga).

Bagi pertandingan Cover Kami pula menerima 330 penyertaan sepanjang tempoh tiga minggu ia berlangsung.

Tiga finalis berentap secara langsung di pentas sebalik tabir AJL 29 yang disiarkan di platform online pada malam anugerah itu.

Juara pertandingan dimenangi Mohd Hafiz Mohd Zahidi, sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000.

Pada masa sama, acara itu ternyata memberi impak besar di laman sosial apabila 163,000 pengguna menyebut mengenainya.

Secara keseluruhan, AJL29 berjaya mendapat hampir 77 juta pendedahan di media sosial sehingga 'trending' di Malaysia dan seluruh dunia.

Mengangkat tema Gema Dalam Muzik, AJL29 menyaksikan penyanyi rap Joe Flizzow dan SonaOne dinobatkan juara menerusi lagu Apa Khabar.

Istimewanya, lagu itu genre pertama seumpamanya diangkat dalam penganjuran AJL.

Dayang Nurfaizah membawa pulang dua trofi selepas diumumkan Vokal Terbaik dan pemenang tempat ketiga menerusi lagu Di Pintu Syurga gubahan Tam Spider dan nukilan lirik Iman Imran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 5:05 AM