Oleh Siti Nadirah Hafidzin
siti_nadirah@hmetro.com.my


Anak yang enggan ke sekolah memang satu dilema buat ibu bapa terutama zuriat anak sulung yang pertama kali masuk sekolah sama ada ke prasekolah mahupun tahun satu.

Mereka mungkin takut atau rasa tertekan untuk ke sekolah sekali gus boleh memberi kesan kepada si anak. Kadangkala ada segelintir ibu bapa mengambil ringan tekanan si anak, namun ia bukan saja menjejaskan emosi kanak-kanak terbabit malah boleh menjejaskan kesihatan mereka misalnya sering sakit kepala atau sakit perut.

Pasti ada sebab si kecil anda tidak mahu ke sekolah. Mereka mungkin tidak sukakan guru yang garang, dibuli rakan, takut berpisah dengan ibu dan bapa dan pelbagai alasan lain.

Selidiki punca masalah dan carilah jawapannya. Berikut enam langkah yang boleh diikuti ibu bapa yang mempunyai masalah anak enggan ke sekolah:

1.Seelok-eloknya sebelum sesi persekolahan bermula, anda sudah mendedahkan kepada anak dengan cerita me-ngenai sekolah baru supaya emosinya lebih bersedia.

Ceritakan suasana positif dan keseronokan di sekolah seperti ada ramai kawan, guru yang baik dan adanya taman permainan di sekolah.

2.Ibu bapa pula perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak buat pertama kali di sekolah kerana emosi kita juga banyak mempengaruhi emosi anak.

3.Cuba berfikiran positif dan elak daripada menunggu anak di dalam kelas terlalu lama kerana menunggu terlalu lama akan hanya menyukarkan proses penyesuaian si anak. Tinggalkan saja anak sebaik menghantarnya ke tadika atau sekolah walaupun dia menangis. Jangan terlalu bimbang kerana biasa-nya anak akan diam selepas ibu atau bapa mereka pulang.

4.Pastikan juga kita tidak lewat mengambil anak pulang dari sekolah atau tadika terutama pada minggu pertama. Biasanya kanak-kanak berasa takut apabila melihat kawan mereka sudah pulang, namun mereka masih menunggu.

5.Beri ganjaran kepada anak yang tidak mahu ke sekolah dengan sesuatu yang disukai sekiranya-nya dia rajin ke sekolah. Bagaimanapun, elak daripada mengumpan anak dengan hadiah atau mainan yang mahal. Teruslah menghantar anak ke tadika atau sekolah secara konsisten. Tidak konsisten akan melambatkan proses penyesuaian.

6.Buat kerja rumah dan ulang kaji bersama mereka. Tanya mengenai aktiviti, kawan di sekolah dan seumpamanya. Tunjukkan minat dan sokongan anda terhadap persekolahannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:00 AM