KTM Super Adventure S untuk tunggangan jarak jauh.
Mohd Razlan Salleh
mrazlan@hmetro.com.my


Penantian peminat motosikal berkuasa tinggi untuk memiliki jentera KTM terbaru kini berakhir apabila pemegang francais jenama KTM tempatan, Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd melancarkan KTM 1290 Super Adventure S dan KTM 1290 Super Duke R atau ‘The Beast 2.0’.

Kedua-dua jentera terbaru ini digerakkan enjin berkuasa 1,301cc tetapi menawarkan gaya tunggangan dan karakter berbeza. Ini kerana KTM Super Adventure S adalah motosikal segmen ‘touring’ manakala Super Duke R adalah model ‘naked’.

KTM Super Adventure S atau lebih dikenali sebagai ‘Groundbreaker’ dijana enjin dua silinder LC8 V-Twin yang menyalurkan kuasa maksimum 160hp pada 8,750rpm manakala tork sehingga 140Nm pada 6,750rpm.

Jentera seberat 215 kilogram (kg) itu menggunakan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi klac ‘slipper’.

Gaya lampu hadapan baru seperti ‘mata belalang’ membolehkan jentera lasak ini mudah dikenali ketika berada di jalan raya.

Sesuai dengan sifat­nya untuk perjalanan jauh, tangki bahan api mampu memuatkan 23 liter, tidak termasuk tangki simpanan sebanyak empat liter. Model ini didatangkan dengan empat mod berbeza iaitu Sport, Street, Rain dan Offroad.

Selain sistem pemantauan tekanan tayar dan pengecas USB, Adventure S ini didatangkan bersama kunci pintar tanpa wayar (wireless). Ia dijual pada harga RM115,000 tidak termasuk insurans bersama dua pilihan warna.

Sementara itu, Super Duke R yang berkongsi nadi sama menyalurkan 177hp pada 9,750rpm dengan tork 141Nm pada 7,000rpm.

Seberat 195kg, model itu turut menggunakan kotak gear enam kelajuan dengan meng­gunakan klac ‘slipper’.

Selain padanan brek Brembo empat omboh pada roda depan dan dua omboh roda belakang, jentera ini dilengkapi kawalan tarikan motosikal, ‘Motor Slip Regulation’ dan pengendalian selekoh ABS.

Tiga mod tunggangan ditawarkan iaitu Sport, Street dan Rain.

Harga Super Duke R ialah RM118,000 tanpa insurans dan kedua-dua model berkenaan diimport sepenuhnya (CBU) dari Austria.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 7:47 AM