LEONCINO 500 bakal memasuki pasaran tempatan.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my

Selepas melancarkan tiga model bulan lalu, pengedar tunggal motosikal jenama Benelli di Malaysia, Mforce Bike Holdings Sdn Bhd bakal memperkenalkan model Leoncino 500.

Ia adalah model gabungan retro dan moden Itali yang dijadual memasuki pasaran tempatan pertengahan tahun ini dengan penampilan agresif sesuai buat penungggang aktif.

Leoncino 500 yang menonjolkan imej ala scrambler menawarkan tunggangan prestasi dijana enjin berkapasiti 499.6cc dwisilinder empat lejang dengan sejukan cecair sesuai untuk laluan lasak atau di jalan raya.

Dengan kuasa 47hp pada 8,500rpm dan daya kilas 45Nm, ia adalah jentera laju yang kompak dengan kotak gear enam kelajuan pada berat keseluruhan motosikal sekitar 170 kg.

Pengurus Besar Operasi Mforce Bike Holdings Sdn Bhd Asri Ahmad berkata, Leoncino adalah satu daripada model yang berada dalam senarai Benelli Malaysia untuk memasuki pasaran tempatan dengan harga yang kompetetif.

“Sehingga hari ini, tempahan sebanyak 6,000 unit motosikal sudah kami terima selepas pelancaran moped pertama Benelli RFS150i, superbike 302R dan motosikal kembara TRK502, April lalu,” katanya.

Faktor rekaan, harga dan teknologi terkini terhadap setiap model baru yang diperkenal menjadikan jenama ini semakin diterima baik pengguna tempatan.

Selain memasang dan menjual, Benelli juga akan mengeksport RFS 150i dan TNT 135 ke Taiwan dan Vietnam serta negara Asia Tenggara lain tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 7:44 AM