ALAT ganti motosikal lama turut dijual.
AHLI Geng Retro Onar merakam kenangan bersama jentera masing-masing.
JENTERA retro pelbagai jenama dan model dari seluruh negara.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Kebelakangan ini, ramai peminat motosikal menjadikan jentera lama atau retro pada era 1970-an, 1980-an dan 1990-an sebagai tunggangan mereka.

Tanpa mengira kapasiti enjin, beraneka jenama merangkumi pelbagai jenis model, pemiliknya boleh berbangga memiliki motosikal yang sering disebut sebagai klasik sepanjang zaman.

Majoriti pemiliknya menganggap motosikal retro walaupun sudah menjangkau 30 tahun, masih lasak dengan komponen asal, aksesori yang cantik dan unik serta sesuai untuk semua peringkat usia.

Justeru, bukan saja orang lama yang masih memilih untuk menunggang motosikal model yang sezaman dengan mereka, malah golongan belia juga memburu motosikal berkenaan termasuk mencari alat ganti tulen dan sanggup mempertaruhkan harga tinggi asalkan barang yang dihajati mampu dimiliki.

Bagi menghargai kewujudan motosikal retro berkenaan supaya terus dikenang dari generasi ke generasi, satu perhimpunan tahunan pemilik motosikal retro diadakan inisiatif gabungan kelab motosikal retro dari seluruh negara. Perhimpunan itu bermula sejak 2008 itu mendapat sambutan menggalakkan berdasarkan bilangan penyertaan yang meningkat setiap tahun.

Menyingkap sejarah perhimpunan terbesar motosikal retro itu, ia awalnya dikenali sebagai Santai Retro dan selama lima tahun berturut-turut diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Namun, disebabkan penyertaan yang mencatat jumlah di luar jangkaan setiap kali acara memaksa pihak penganjur mengubah lokasi ke Dataran Pantai Morib di Banting, Selangor, pada 2013. Perhimpunan berkenaan juga ditukar nama kepada bunyi lebih gah iaitu Retromania Grand Gathering (RGG).

Pada 2015, lokasi penganjuran RGG dipindahkan ke selatan tanah air, namun atas permintaan peserta ia kembali dianjurkan di Dataran Pantai Morib kerana kedudukan yang strategik sebagai titik pertemuan peserta dari utara dan selatan serta pantai timur.

RGG kini dianjurkan Kelab Motosikal Retro Se-Malaya terdiri daripada 15 kelab motosikal retro dari seluruh negara turut mendapat kerjasama Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

Memasuki tahun ke-10 penganjurannya baru-baru ini, RGG memperbaharui rekod perhimpunan motosikal retro terbesar yang tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Catatan sebanyak 5,084 motosikal retro berjaya dihimpun dalam satu-satu acara memadamkan rekod lama (4,100 motosikal retro) yang dicipta sendiri pada 2014.

Penganjur acara, Hamdan Ishak berkata, perhimpunan selama dua hari tidak saja mengumpulkan motosikal retro, malah acara berkenaan juga menjadi medan buat pemilik motosikal lama itu bertukar pendapat mengenai penyelenggaraan, selain sumber untuk mendapatkan alat ganti.

“Bagi menjadikan penganjuran kali ini lebih meriah dan sentiasa ada kelainan konsep daripada acara terdahulu, kami juga mengadakan pameran barangan serta aktiviti yang berkaitan dengan zaman kegemilangan retro.

“Antaranya, basikal BMX yang pernah menjadi kegilaan anak muda pada zaman berkenaan, pakaian rock kapak, koleksi poster dan pelekat motosikal, sut pelumba dan tarian Breakdance.

“Kami turut memberi peluang niaga kepada usahawan daripada kalangan mat motor menjual peralatan dan aksesori motosikal lama termasuk makanan dan minuman kepada pengunjung. Pelbagai program turut menyerikan acara seperti aktiviti amal Ride Asnaf, sembang santai, cabutan bertuah dan anugerah Retromania,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya akan terus menjadikan Pantai Morib khususnya dan Kuala Langat amnya sebagai lokasi penganjuran acara besar dan penting, malah penganjuran RGG empat kali di Dataran Pantai Morib mampu menaikkan nama kawasan rekreasi berkenaan.

“Penganjuran acara sedemikian memberi impak positif kepada masyarakat, di samping membantu mengembangkan sosioekonomi dan merancakkan industri pelancongan di daerah ini sekali gus memperkenalkan kawasan menarik yang berpotensi menjadi tumpuan kepada pelancong dan pengunjung luar.

“RGG adalah contoh penganjuran yang terbaik apabila mampu menarik kunjungan kira-kira 15,000 orang dalam tempoh dua hari berlangsung. Ini juga menyokong ekonomi pengusaha penginapan termasuk inap desa apabila premis mereka habis ditempah, manakala premis makanan turut menerima tempiasnya,” katanya.

Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini Pantai Morib mendapat sentuhan baru dengan pelbagai naik taraf kemudahan untuk pengunjung sehingga menjadikannya lokasi yang sesuai untuk penganjuran program seumpama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 7:11 AM