GELAGAT peserta yang menolak basikal ketika melalui kawasan bukit.
Rosman Shamsudin
metahad@hmetro.com.my


Santai tetapi penuh dengan cabaran. Itu pengalaman dilalui 250 peserta program Kayuhan Amal Baitul Al-Hilmi 2017 di Slim River, Perak baru-baru ini.

Biarpun berkonsepkan kayuhan amal, berkayuh di kawasan berbukit di kaki Banjaran Titiwangsa sejauh 25 kilometer (km) sudah cukup menguji mental dan fizikal peserta yang kebanyakannya teruja dengan trek yang ditempuh.

Bermula di pekarangan Kompleks Anak Yatim Baitul Al-Hilmi tepat jam 7 pagi, peserta dilepaskan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Abdullah Sani.

Pada awalnya kayuhan boleh dikatakan cukup santai. Peserta dihidangkan dengan panorama menarik Kampung Rasau yang berlatar belakang Banjaran Titiwangsa.

Namun, selepas beberapa kilometer, sedikit demi sedikit cabaran ‘menjelma’ sebaik roda memasuki ladang kelapa sawit seterusnya kawasan berbukit di kaki Banjaran Titiwangsa.

Biarpun agak ekstrem bagi kayuhan berkonsepkan kayuhan amal, kebanyakan peserta melahirkan keterujaan dengan cabaran yang ditempuh.

Rata-rata mereka mengakui cabaran berkenaan antara ‘nikmat’ yang ditunggu dalam sukan basikal lasak.

Antara cabarannya mereka meredah laluan batu kerikil, lopak berselut dan lereng bukit curam yang menyaksikan kebanyakan peserta terpaksa menolak basikal.

Malah, peserta menganggap kayuhan amal itu pentas memanaskan badan dan menguji tahap kecergasan fizikal serta mental mereka dalam bidang sukan basikal lasak.

Penaung program, Ahmad Faris berkata, kayuhan amal itu bagi mengumpul dana membiayai kos operasi asrama baru untuk anak yatim di Baitul Al-Hilmi.

Katanya, kayuhan amal sudah tiga kali dianjurkan bagi memberi peluang kepada peserta beriadah sambil beramal.

“Kita bersyukur kerana sambutan diterima bukan sekadar membabitkan individu, malah agensi kerajaan dan badan korporat yang membuktikan mereka sentiasa peka dengan keperluan golongan insan kurang bernasib baik.

“Sebagai wakil Baitul Al-Hilmi, kami berterima kasih dengan sumbangan yang diterima dan sokongan diberikan,” katanya.

Ahmad Faris berkata, mereka berharap sumbangan bukan sekadar melancarkan operasi rumah anak yatim Baitul Al-Hilmi, malah dapat melahirkan generasi lebih cemerlang rohani dan jasmani.

Sementara itu, peserta dari Kelab Lo Lengo Cyclo, Halalludin Abd Rahim, 32, berkata, biarpun program itu menjurus kepada kayuhan riadah, ia tetap mencabar stamina sebagai peminat sukan basikal lasak.

“Kayuhan ini membolehkan peserta beramal dan dalam masa yang sama, meneruskan minat terhadap aktiviti sukan basikal lasak. Paling menarik cabarannya juga cukup sempurna bagi menguji mental dan fizikal kami,” katanya.

Peserta dari Hulu Selangor Cycling Corp Team, Azizi Md Arifin , 44, mengakui seronok dapat turut serta dalam kayuhan amal itu berikutan ia memberikan satu pengalaman berbeza.

“Bagi saya kayuhan amal ini unik kerana biarpun berkonsepkan kayuhan santai, tapi ia penuh cabaran. Bezanya pula kerana ia bukan berkonsepkan perlumbaan.

“Jadi, setiap peserta dapat menikmati setiap halangan itu tanpa perlu tergesa-gesa untuk mengejar pelumba lain seterusnya memperbaiki teknik berbasikal masing-masing,” katanya.

Azizi yang juga anggota polis berkata, penganjuran aktiviti seperti itu juga mampu mengeratkan hubungan PDRM dengan masyarakat seterusnya memberi impak dalam memerangi kegiatan jenayah pada masa depan bersama-sama.

Dalam Kayuhan Amal Baitul Al-Hilmi 2017 ini, turut hadir Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa; Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam dan Setiausaha Majlis Daerah Tanjung Malim Siti Azura Juki.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 7:03 AM