BERSAMA keluarga.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Memiliki persamaan seperti pemanduan kereta di sebelah kanan dan banyaknya bangunan mencakar langit, Kuala Lumpur mengingatkan Kayoko Omata kepada ‘kampung halamannya’ di Tokyo, Jepun.

Mengenali Malaysia menerusi program televisyen berkaitan bangunan bersejarah, wanita berusia 36 tahun ini tidak pernah menyangka menetap di negara ini.

Mengagumi sejarah dan kebudayaan sesebuah negara, Kayoko membuat keputusan mengikuti latihan sebagai sukarelawan pemandu pelancong untuk Muzium Negara.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Saya sekeluarga datang ke Malaysia buat kali pertama pada November 2015 seiring dengan berlangsungnya pilihan raya di Myanmar. Sebelum ini, kami menetap di Myanmar kerana suami berkhidmat di sebuah syarikat Jepun yang beroperasi di Yangon.

Bimbang dengan ketidakstabilan situasi pilihan raya Myanmar, kami terpaksa ‘bercuti’ selama dua minggu di Malaysia.

Selepas itu, kami kembali ke Myanmar untuk beberapa bulan sebelum suami diarahkan berpindah ke Kuala Lumpur pada Mac 2016.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum datang ke sini ?

Apa yang saya tahu mengenai Malaysia adalah orang utan, Menara Berkembar Petronas, masyarakat peranakan dan Tapak Warisan Dunia UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) di Melaka dan Pulau Pinang.

Ketika di Jepun, saya pernah menyaksikan paparan keunikan dan kecantikan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang ada di Malaysia, Melaka dan Georgetown.

Saya tidak menyangka saya berpeluang melawatinya.

3. Cabaran sepanjang anda berada di Malaysia?

Perbezaan musim terutama hujan, memberi sedikit cabaran buat saya. Hujan tidak menentu dan lama membuatkan saya terperangkap dalam kompleks beli-belah dalam masa yang panjang.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Saya sangat mencintai sejarah dan budaya, justeru saya berminat mendaftarkan diri mengikuti latihan sukarelawan pemandu pelancong di Muzium Negara sejak Mac hingga Julai nanti.

Jadi, saya harap dapat berkongsi sejarah dan budaya Malaysia bersama pelancong Jepun yang berkunjung ke Malaysia.

Selain itu, saya dan seorang teman juga melakukan kerja sukarelawan lain, iaitu membacakan buku bergambar mengenai sejarah, budaya, musim dan kehidupan masyarakat Jepun kepada anak-anak pasangan Jepun yang berada di sini. Kebanyakan mereka adalah anak kawan saya.

Meskipun jauh dari tanah air dan gembira dengan pendedahan bahasa Inggeris serta kepelbagaian budaya di sini, saya melihat anak perlu dididik dengan nilai dan jati diri Jepun.

Malaysia juga terkenal dengan budaya variasi makanan. Contohnya, rojak yang dipanggil pencuci mulut, apabila saya mencuba sajian itu, rupanya ia sejenis sayuran campuran. Begitu juga, durian. Saya tidak mempunyai masalah dengan raja buah ini.

5. Lokasi pilihan anda ?

Muzium Kesenian Islam. Saya tertarik dengan seni tulisan al-Quran dan khat dihasilkan.

Saya menjadikannya lokasi wajib kunjung bagi kawan yang datang menziarahi saya di Malaysia.

6. Makanan tempatan kegemaran anda?

Nasi lemak, teh tarik, ‘pan mi’ dan roti canai.

7. Malaysia pada mata anda?

Penduduk tempatan yang mesra dan berfikiran terbuka meskipun berbeza dari segi latar belakang agama dan budaya membuatkan saya selesa berada di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 6:59 AM